Home Berita PAS Terengganu

Terengganu Jana Hasil Secara Progresif

11
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu telah membuktikan keupayaan menjana hasil secara progresif tanpa bergantung sepenuhnya kepada petroleum melalui usaha berani meneroka sektor-sektor baharu seperti mineral nadir bumi (REE), tenaga hijau serta pelaburan berasaskan kelestarian.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, melalui usaha terbabit dapat dilihat kesungguhan sebuah pentadbiran yang memilih jalan mencabar demi kepentingan jangka panjang rakyat dan negeri.

“Berdasarkan data rasmi, purata hasil negeri menunjukkan peningkatan ketara berbanding kerajaan terdahulu iaitu RM189.1 juta bagi tempoh 2008-2013, RM234.9 juta (2014-2017) dan RM256 juta bagi tempoh 2018-2024.

“Namun begitu, dalam kesungguhan menjana pendapatan baharu, Negeri Terengganu tidak sesekali melupakan haknya yang masih belum dikembalikan sepenuhnya iaitu royalti petroleum.

“Perkara ini telah ditegaskan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu yang berakhir (minggu lalu) bahawa kerajaan negeri akan tetap menuntut kepunyaan rakyat Terengganu itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian melalui kenyataan medianya, ‘Terengganu Tidak Tunggu Disuap, Tapi Tidak Reda Hak Diragut, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut isu berkait tuntutan royalti ini bukan baharu namun ia juga bukan satu permintaan tetapi hak yang telah termaktub dan dijamin.

“Selagi mana hak ini belum dilunaskan, selagi itu suara dan tuntutan akan terus disuarakan dengan tegas, konsisten dan tanpa kompromi,” tegasnya.

Jelas beliau, Terengganu tidak pernah dibina atas dasar kebergantungan.

“Sejak dahulu, asas pembinaan negeri ini berpaksikan kedaulatan, maruah dan daya tahan.

“Menjadi amanah dan tanggungjawab kerajaan yang diberi mandat untuk memastikan hasil negeri bukan sahaja dipelihara, malah terus diperkasa secara bermaruah,” ujar beliau.