MEKAH – Satu langkah besar dalam memperkasa ilmu al-Quran anak-anak Terengganu direalisasikan apabila Kerajaan Negeri mengadakan perbincangan rasmi bersama Pentadbiran Halaqah Tahfiz Masjidil Haram, Arab Saudi semalam.
Pertemuan itu dipimpin oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, yang berkesempatan berbincang secara terus mengenai peluang mengikuti halaqah al-Quran di Masjidil Haram untuk anak negeri Terengganu khususnya para imam.
Menurut Dr. Muhammad Khalil, hasil perbincangan awal tersebut, imam Terengganu akan dihantar bagi menjayakan usaha itu.
“Sebagai langkah permulaan, Kerajaan Negeri akan menghantar dua orang imam dari Terengganu pada tahun hadapan untuk mengikuti program istimewa ini sebelum ia diperluas kepada lebih ramai pada masa akan datang,” ujar beliau.
Tambahnya, cadangan lain turut dikemukakan oleh pensyarah Ilmu al-Quran Universiti Umm al-Qura merangkap Penyelia Halaqah Al-Quran di Masjidil Haram, Profesor Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman Aidi adalah termasuk kesinambungan daripada kursus Bahasa Arab sebulan yang pernah dianjurkan sebelum ini.
Selesai perbincangan, Dr. Muhammad Khalil turut dibawa menziarahi beberapa majlis ilmu yang sedang berlangsung serta bertemu para syeikh bagi menyaksikan sendiri suasana talaqqi di Masjidil Haram.
Kerajaan Negeri melihat usaha ini sebagai jambatan ilmu yang akan melahirkan lebih ramai generasi ulama dan pendakwah berkualiti, bukan sahaja untuk Terengganu, bahkan untuk ummah seluruhnya.