PATTANI – Kejayaan perniagaan ayam tempayan di Pattani membuktikan bahawa makanan tradisional mampu dikomersialkan sebagai jenama serantau menerusi penjenamaan konsisten dan pemasaran digital berkesan.
Hidangan ayam panggang berempah itu bukan sahaja menjadi tarikan pelancong, malah tular di media sosial, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada usahawan tempatan di selatan Thailand.
Melihat potensi besar tersebut, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu kini giat memperkasakan usahawan makanan dan produk tradisional negeri itu agar dapat menembusi pasaran lebih luas.
Pengurus Kanan Pembangunan Usahawan YPU, Zulkifli Yunus berkata, antara perniagaan yang wajar dicontohi ialah Ahlam Ayam Tempayan yang diusahakan oleh usahawan Muslim, Khozali Dusamok di Chana, Thailand.
“Perniagaan ini menggunakan kaedah tradisional memanggang ayam dalam tempayan tanah liat dan berjaya menjual kira-kira 1,000 ekor ayam setiap hari, meningkat kepada 3,000 hingga 4,000 ekor semasa bulan Ramadan.
“Biarpun baru beroperasi sejak lima tahun lalu, Ahlam Ayam Tempayan kini memiliki dua cawangan dan menggaji lebih 80 orang pekerja,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke premis itu, di sini, baru-baru ini.
Lawatan rasmi itu diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Dato’ Ariffin Deraman, bersama delegasi seramai 30 wakil jabatan dan agensi kerajaan negeri serta pusat.
Zulkifli berkata, banyak yang boleh dipelajari daripada kejayaan usahawan di Pattani, khususnya dari aspek penjenamaan visual yang menarik, promosi digital menerusi platform seperti TikTok dan Facebook, serta kualiti produk yang konsisten.
“Dengan bimbingan latihan, kemudahan pembiayaan dan sokongan digital, YPU yakin usahawan Terengganu juga mampu menyaingi kejayaan tersebut, khususnya dalam mengetengahkan makanan tradisional sebagai aset dagangan yang berdaya saing di peringkat serantau.
“Usahawan makanan tradisional seperti pengusaha sata, keropok lekor, nasi dagang dan ayam percik perlu mengambil inspirasi daripada model perniagaan ini,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan penjenamaan moden, pembungkusan profesional dan promosi digital berkesan mampu membuka ruang kepada produk tempatan untuk menembusi pasaran pelancongan dan eksport ke negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia.