Home Berita PAS Terengganu

Terengganu FC terus kemarau jaringan

32
SHARE

KUALA NERUS – Terengganu FC gagal memanfaatkan kelebihan tempat sendiri apabila sekadar seri 0-0 menentang Kuala Lumpur City FC (KLCFC) pada aksi ketiga Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), hari ini.

Beraksi di halaman sendiri, Tomislav Steinbruckner melakukan sedikit rombakan dengan menurunkan Rahadiazli Rahalim sebagai benteng utama pasukan.

Di awal permainan, KLCFC bermula garang apabila berjaya menggegarkan gawang tuan rumah pada minit ke-8 menerusi Paulo Josue hasil hantaran satu dua bersama Herlison Caion, bagaimanapun gol tersebut dibatalkan pengadil kerana Caion didapati berada pada kedudukan offside terlebih dahulu.

Skuad kendalian Bojan Hodak sekali lagi berpeluang mendahului pada minit ke-14, tetapi rembatan Caion tinggi melewati palang.

Pada minit ke-24, Syafik Ismail melakukan hantaran lintang dari sebelah kiri kubu lawan namun tandukan Liridon Krasniqi tersasar tinggi dari gawang.

Penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut hampir memecah kebuntuan jaringan pada minit ke -30 apabila sepakan percumanya deras menuju gawang pelawat, tetapi Kevin Mendoza lebih cemerlang menampan bola tersebut.

Keputusan kekal tanpa jaringan sehingga masa pertama ditamatkan.

Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan saling meningkatkan momentum serangan.

Sekalipun tuan rumah lebih menguasai perlawanan, pelawat dilihat lebih banyak mengancam apabila melakukan serangan.

Zhafri Yahya berjaya melakukan percubaan dari jarak dekat namun dapat ditampan Rahadiazli dan dikeluarkan pertahanan pada minit ke-56.

Memasuki minit ke-62, Azam Azmi Murad melihat peluang di luar kotak penalti lawan, sayang rembatannya hanya sedikit melewati palang.

Seminit kemudian, Josue yang menerima hantaran di dalam kotak penalti melakukan tolakan ke gawang, namun Rahadiazli sempat menafikan ancaman KLCFC.

Terengganu FC semakin rancak menyerang sehingga minit-minit terakhir perlawanan.

Memasuki masa tambahan, Ivan Mamut memanfaatkan kelebihan keadaan kelam-kabut di depan gawang dengan lambungan ke arah gol, tetapi Kevin Mendoza sempat menepis bola keluar untuk kedudukan terikat 0-0 sehingga wisel penamat ditiupkan.

Terengganu FC meneruskan kemarau jaringan namun berjaya memungut satu mata dalam perlawanan ini.

Gergasi pantai timur itu bagaimanapun kekal di dasar liga setelah tiga perlawanan.

Terengganu FC akan melayan kunjungan PDRM FC yang masih segar dengan kemenangan ke atas Kedah Darul Aman FC, pada 11 Mac ini.