Home Berita PAS Terengganu

Terengganu FC terima bas baharu

41
SHARE

KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) menerima sebuah bas rasmi serba baharu berwarna hitam daripada TRA Holidays Sdn Bhd, sekaligus mengukuhkan kerjasama jangka panjang lima musim antara syarikat pengangkutan dari Pulau Pinang itu dan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB).

Bas tersebut tiba ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pagi ini selepas merentasi Banjaran Titiwangsa, simbol komitmen dan semangat untuk TFC menjelang sepak mula Liga Malaysia Ogos nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim yang juga Pengerusi TFCSB, menyifatkan kerjasama ini sebagai satu langkah penting memperkukuh logistik pasukan.

“Pagi ini menandakan satu lagi urusan penting dalam usaha memperkukuhkan struktur dan keperluan logistik pasukan,” katanya dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara TFCSB dan syarikat TRA Holidays Sdn Bhd di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan TRA HOLIDAYS SDN BHD, Danial Tan Abdullah, Ahli Lembaga Pengarah TFCSB, Tengku Seri Bijaya Raja, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Mohd Syahrizan Mohd Zain.

Beliau turut memaklumkan bahawa TRA Holidays dilantik sebagai penaja kategori Silver dan penyedia perkhidmatan pengangkutan rasmi pasukan bagi tempoh lima musim.

“Kami amat berbesar hati dan mengalu-alukan TRA Holidays Sdn Bhd sebagai rakan penaja kategori Silver bagi musim 2025/2026.

“Kita mengharapkan TRA Holidays akan jadi penyedia perkhidmatan pengangkutan rasmi pasukan bagi tempoh lima musim ke hadapan,” ujarnya.

Tambah Hishamuddin, TRA Holidays turut dikenali sebagai penaja pengangkutan rasmi Penang FC, dan kini mengorak langkah ke Pantai Timur bersama skuad Hitam Putih. Perlawanan pertama TFC akan bermula pada 10 Ogos menentang Penang FC di tempat lawan, sebelum kembali ke SSMZA bertemu PDRM FC lima hari kemudian. TFC juga bakal bertemu Imigresen FC dalam pusingan 16 Piala FA.

Kerjasama ini turut diiktiraf sebagai bukti sokongan bukan sekadar kepada sukan, tetapi kepada semangat yang mendasarinya.

“Kerjasama ini mencerminkan kesungguhan pelbagai pihak dalam menyokong pembangunan sukan bola sepak negeri.

“Saya percaya melalui sokongan padu daripada syarikat seperti TRA Holidays, TFC mampu mara bukan sahaja dari segi pencapaian tetapi juga kestabilan pengurusan dan kewangan,” tambah beliau.

Sementara itu, Pegawai Operasi TRA Holidays Sdn Bhd, Nur Safwan Md Salleh menyampaikan penghargaan kepada seluruh warga Terengganu.

“Petang semalam kami bertolak daripada Pulau Pinang, membelah Banjaran Titiwangsa untuk berada di majlis pagi ini, itu satu kebanggaan kami untuk Terengganu FC” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa penajaan ini bukan sekadar urusan di atas kertas tetapi satu ikatan emosional bersama penyokong.

“Penajaan ini bukanlah hanya satu kerjasama di atas kertas atau jersi, tapi ia adalah komitmen jangka masa panjang.

“Kami percaya bila kita sokong pasukan seperti TFC, kita bukan sahaja sokong sukan, tapi sokong semangat, perjuangan dan harapan yang dibawakan oleh pemain dan penyokong,” jelasnya.