KUALA TERENGGANU – Terengganu mencatatkan kejayaan besar apabila menerima pelaburan sebanyak RM3.178 bilion pada tahun 2024, yang bukan sahaja mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelaburan berdaya saing tetapi juga membuka 2,356 peluang pekerjaan baharu untuk rakyatnya.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi Terengganu.
“Pelaburan yang diterima adalah hasil usaha gigih kerajaan negeri bersama Kerajaan Persekutuan dalam merangka dasar ekonomi yang kukuh.
“Ia membawa impak besar kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), di Dewan Gamelan, Primula Beach Hotel, di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi; Dato’ Nor Azmie Diron, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu; Dato’ Mohd Nor Hamzah, Pegawai Kewangan Negeri; Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham.
Menurut Nara Setia, selain rekod pelaburan yang memberangsangkan, Terengganu turut mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai RM38.2 bilion dengan pertumbuhan 2.3% pada tahun 2023.
“Sektor perkhidmatan mendominasi ekonomi negeri dengan sumbangan 52%, diikuti sektor perkilangan (36.9%) dan sektor pertanian (7.5%),” jelasnya.
Beliau juga menekankan peranan infrastruktur strategik seperti East Coast Rail Link (ECRL) dalam menarik pelaburan baharu.
“ECRL adalah pemangkin utama pembangunan ekonomi Terengganu.
“Ia menghubungkan kita dengan Pantai Barat, menjadikan negeri ini lebih kompetitif, terutamanya dalam sektor logistik dan perdagangan,” ujar beliau.
Menurut beliau, pembesaran Pelabuhan Kemaman dan pembangunan konsep Transit Oriented Development (TOD) di sepanjang laluan ECRL turut menarik perhatian pelabur domestik dan antarabangsa.
“TOD akan mencipta pusat-pusat ekonomi baharu, sementara pelabuhan yang diperluas akan meningkatkan kapasiti logistik, memberi manfaat kepada sektor perkilangan dan eksport,” tambahnya.
Pelaburan ini turut memberi kesan langsung kepada rakyat melalui penciptaan pekerjaan dan peningkatan taraf hidup.
“Peluang pekerjaan yang diwujudkan bukan sekadar angka, tetapi ia memberi jaminan masa depan yang lebih baik kepada rakyat Terengganu.
“Dengan rekod pelaburan ini, Terengganu berada di landasan kukuh untuk terus maju dalam ekonomi mampan dan inklusif, menjadikan negeri ini hab pelaburan utama di Pantai Timur,” ujarnya.