Home Berita PAS Terengganu

Terengganu catat kadar kelahiran tertinggi

302
SHARE

KUALA TERENGGANU, 17 Oktober – Terengganu mencatatkan kadar tertinggi Kadar Kelahiran Kasar (CBR) pada tahun 2020 di Malaysia dengan 21.6 kelahiran bagi setiap seribu penduduk.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata semua negeri mencatatkan penurunan bilangan kelahiran hidup pada 2020 berbanding 2019 kecuali Terengganu, Perlis dan Labuan.

Mengulas lanjut, katanya penurunan bilangan kelahiran itu mengakibatkan CBR di Malaysia menurun daripada 15.0 kelahiran pada 2019 kepada 14.4 bagi setiap seribu penduduk pada 2020.

“Antara daerah dengan kadar tertinggi di Malaysia adalah Kuala Terengganu mencatatkan CBR teratas pada tahun 2020 dengan 26.9 kelahiran setiap seribu penduduk.

“Ini diikuti oleh tiga daerah di Terengganu iaitu Marang (25.0), Setiu (22.7) dan Besut (22.7).

“Sementara itu, CBR terendah dicatat oleh Kinabatangan, Sabah pada 3.7 kelahiran per seribu penduduk, diikuti oleh Timur Laut, Pulau Pinang (6.9) dan Putatan, Sabah (7.3),” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Dr Mohd Uzir menjelaskan, wanita memainkan peranan yang penting dalam menentukan bilangan dan kadar kelahiran dalam sesebuah negara.

“Trend penurunan kelahiran ini disumbangkan oleh peningkatan taraf pendidikan wanita dan peningkatan pembabitan wanita dalam tenaga buruh.

“Selain itu, faktor seperti peningkatan purata umur perkahwinan pertama, kesan evolusi pembandaran, perubahan gaya hidup, status ekonomi dan peningkatan penggunaan kaedah perancang keluarga juga turut menyumbang kepada trend penurunan kelahiran pada masa ini,” katanya lagi.