KUALA NERUS – Kerajaan negeri mengambil pendekatan mendidik, memberi penerangan dan penjelasan dari semasa ke semasa dalam menangani isu segelintir guru-guru sekolah di negeri ini yang enggan divaksin.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, hanya minoriti kecil sahaja yang masih belum atau memilih untuk tidak disuntik vaksin COVID-19.
“Angka mereka yang tergolong dalam kategori ini tidak ramai dan tiada angka tetap, namun menerusi mesyuarat bersama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), isu ini akan ditangani sebaik mungkin.
“Setakat ini, tiada keputusan drastik diumumkan seperti pengasingan daripada pengajaran, kita tunggu keputusan peringkat Kementerian Persekutuan bagi tindakan sewajarnya.
“Walaupun, usaha pemberian dos suntikan tidak dipaksa, namun ia memberi kebimbangan kepada orang sekeliling terutamanya pihak ibu bapa dan pelajar,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas kerja pengagihan bantuan air di di Dewan Serbaguna Tepoh, pagi semalam.
Tambah Satiful, antara faktor yang mungkin membawa kepada wujudnya golongan sedemikian adalah pengaruh media terutamanya di media sosial.
“Kebanyakan maklumat diterima adalah fakta tidak berasas, apa dibuat kerajaan adalah berdasarkan data dan dasar betul seiring dengan perkembangan,” katanya lagi.
Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin menegaskan bahawa guru-guru yang enggan divaksin akan diberikan tugasan lain di sekolah semasa sesi persekolahan dibuka kelak yang bukan melibatkan aktiviti pengajaran di dalam kelas secara bersemuka dengan pelajar.
Penjelasan itu sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa guru-guru berkenaan tidak perlu mengajar serta terlibat dalam sesi persekolahan yang akan dibuka pada 3 Oktober depan.