Home Berita PAS Terengganu

Terengganu berhasrat jadikan Jijoe sebagai mentor

14
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu berhasrat melantik Jaguh Trek Berbasikal Negara, Dato’ Azizulhasni Awang sebagai mentor buat atlet di negeri ini bagi membentuk lebih ramai pelapis yang boleh mewakili Malaysia ke temasya sukan di peringkat antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, hasrat kerajaan negeri itu disampaikan ketika beliau bertemu dengan ‘The Pocket Rocket Man’.

“Di samping itu, kami turut berkongsi pandangan dan idea mengenai usaha penggunaan fasiliti velodrom berbasikal di Dungun.

“Kerajaan Negeri Terengganu komited untuk meneruskan agenda pembangunan sukan berbasikal secara lebih komprehensif supaya sentiasa berjaya melahirkan pelapis pelumba basikal di kalangan generasi muda Terengganu,” ujarnya melalui suatu kenyataan, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut, Hishamuddin berkata sebelum ini pihaknya sentiasa bertemu dengan Azizulhasni untuk mengetahui perkembangan semasa prestasi sukan berbasikal negara.

“Rakyat Malaysia khususnya Terengganu berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan beliau.

“Atlet negara yang menerima julukan sebagai ‘The Pocket Rocketman’ sentiasa positif dan terus berusaha untuk diri beliau dan semua atlet berbasikal negara untuk terus maju jaya,” ujarnya.