Home Berita PAS Terengganu

Terengganu bentang Belanjawan 2025 berjumlah RM1.887 bilion

36
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu memperuntukkan sejumlah RM1.887 bilion bagi Belanjawan 2025 untuk mengurus dan meneruskan pembangunan negeri itu bagi tahun depan.

Menteri Besar, Dato Seri  Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bertemakan ‘Demi Masa Depan Terengganu’, belanjawan itu termasuk RM450 juta caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

“Di bawah Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM94.99 juta diperuntukkan untuk Perbelanjaan Tanggungan dan RM1.792 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan iaitu RM278.19 juta untuk Emolumen, RM361.49 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM23.93 juta untuk Aset, RM1.127 bilion untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap dan RM1 juta untuk perbelanjaan lain,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan belanjawan itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambah Ahmad Samsuri lagi, bagi hasil pula, sebanyak RM74.10 juta adalah daripada Hasil Cukai, RM189.25 juta daripada Hasil Bukan Cukai dan RM1.733 bilion daripada Terimaan Bukan Hasil.

“Jumlah ini  termasuk Dana Khas Kerajaan Persekutuan iaitu bayaran hasil petroleum yang dianggarkan berjumlah RM1.634 bilion,” katanya.

Menurut beliau, bagi memastikan pengurusan kewangan dan proses belanjawan adalah lebih efisien, Pejabat Perbendaharaan Negeri Terengganu akan memperkemas pelaksanaan Bajet Berasaskan Outcome (OBB) dalam membuat pengagihan peruntukan dan perbelanjaan nanti.