Home Berita PAS Terengganu

Terengganu bentang belanjawan 2024 bernilai RM1.860 bilion

12
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri membentangkan Belanjawan 2024 bertemakan ‘Meneraju Era Baharu Terengganu’ berjumlah RM1.860 bilion bagi perbelanjaan mengurus.

Menteri Besarnya, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM500 juta sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

“Di bawah perbelanjaan mengurus, sebanyak RM84.77 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan tanggungan dan RM1.775 bilion bagi perbelanjaan bekalan iaitu sebanyak RM278.30 juta untuk emolumen, RM251.48 juta untuk perkhidmatan dan bekalan, RM23.86 juta untuk aset, RM1.220 bilion untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap RM1 juta untuk lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, dibawah Perbelanjaan Pembangunan, sebanyak RM425.19 juta diperuntukkan untuk sektor sosial, RM44.10 juta untuk pentadbiran dan RM30.71 juta untuk sektor ekonomi.

Bagi anggaran hasil, kerajaan negeri menganggarkan sejumlah RM1.860 bilion iaitu sebanyak RM80.06 juta daripada hasil cukai, RM169.01 juta dari hasil bukan cukai dan RM1.610 bilion daripada terimaan bukan hasil termasuk dana khas kerajaan persekutuan iaitu bayaran hasil petroleum.