Home Berita PAS Terengganu

Terengganu belanja RM704 ribu selenggara kemudahan sukan

4
SHARE

KUALA TERENGGANU- Kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM704,000 bagi tujuan penyelenggaraan kemudahan sukan melibatkan pembaikian padang bola sepak, futsal serta kemudahan sukan yang lain tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerajaan negeri juga akan terus komited untuk menambah baik serta membaik pulih kemudahan sukan yang mengalami kerosakan pada tahun mendatang bagi memastikan golongan belia dan remaja di negeri ini kekal cergas.

“Selain itu, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu juga telah melaksanakan enam projek selenggara dan baik pulih iaitu Kompleks Rakan Muda dan KSK Jertih, Besut, Velodrom Dungun, Kompleks Sukan Telemong, Hulu Terengganu, Kompleks Rakan Muda, Kemaman dan Gelanggang Futsal KOMBES,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut beliau, buat masa ini, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk fokus kepada penyelenggaraan serta baik pulih kemudahan sukan sedia ada berbanding menambah fasiliti sukan tambahan bagi memastikan keperluan dan keselamatan golongan belia terjamin semasa bersukan.

“Kerajaan negeri juga amat menggalakkan pelaburan daripada badan swasta dalam menyediakan fasiliti sukan dalam Negeri Terengganu seperti dibuat di Dungun yang kini telah mempunyai dua padang sintetik yang dibangunkan oleh syarikat swasta dengan kerjasama Majlis Perbandaran Dungun.

“Kedua-dua gelanggang ini iaitu Padang Bola Sintetik GD SOCCER yang dioperasikan oleh GD SOCCER ENTERPRISE di DUN Sura dan Padang Bola Sintetik Prestige Way Resources, Batu Tujuh, yang dioperasikan oleh syarikat Prestige Way Resources SDN.BHD di Dun Paka telahpun beroperasi dan mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan belia sebagai alternatif sukan dan rekreasi kerana padang sintetik ini dibina mengikut standard FIFA,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain dalam Negeri Terengganu turut mengambil pendekatan sama dalam membantu merancakkan sektor sukan seterusnya dapat meningkatkan ekonomi negeri.