Home Berita PAS Terengganu

Terengganu Bantu Pesawah Terjejas Serah Nama Kepada PM

75
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri akan berusaha membantu pesawah di negeri ini yang terkesan dengan kenaikan kos input pertanian.

Pengerusi Jawatankuasa  Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya akan membantu memudahkan urusan menghantar senarai nama pesawah yang terjejas dengan peningkatan kos pengeluaran termasuk kos harga bahan input dan jentera kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, tindakan itu dibuat sebagaimana diminta Anwar dalam sesi Parlimen baru-baru ini.

“Kerajaan negeri sentiasa komited dalam memastikan kebajikan pesawah di negeri ini terbela dan bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam mencari penyelesaian terbaik.

“Kami telah mengenal pasti semua pesawah yang mengalami kesan langsung akibat kenaikan harga baja, racun, benih, dan jentera pertanian. Insya-Allah, nama-nama mereka akan dihantar kepada PM dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus berusaha membantu golongan pesawah termasuk melalui insentif khas dan usaha menstabilkan kos input pertanian.

“Di Terengganu ada seramai 4,714 orang pesawah yang berdaftar. Semuanya terkesan kerana kenaikan kos baja, racun, benih dan pelbagai jentera pertanian.

“Insya-Allah nama-nama mereka akan sampai kepada PM sebagaimana diminta dan kita akan bantu untuk permudahkan,” ujarnya.

Sementara itu, para pesawah di Terengganu berharap agar langkah ini akan membawa penyelesaian segera terhadap bebanan kos pengeluaran yang semakin meningkat.

Terdahulu dalam sesi Parlimen, PM telah meminta agar nama pesawah yang terkesan diserahkan kepadanya bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.