Home Berita PAS Terengganu

Terengganu bakal haramkan vape secara total?

73
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu sedang dalam perbincangan untuk melaksanakan pengharaman ‘total’ ke atas vape di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri untuk mengharamkan vape secara menyeluruh di Terengganu.

“Kertas cadangan ini sedang dalam proses akhir dan akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (MMKN) untuk dibincangkan.

“Pengharaman turut melibatkan penjualan, pengiklanan dan sebarang aktiviti berkaitan vape di seluruh premis di negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Menurut beliau, jika cadangan ini dipersetujui, satu undang-undang ketat akan diperkenalkan bagi memastikan pengharaman itu dapat dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Jika cadangan pengharaman ini diluluskan, semua jenis vape tanpa mengira perisa atau kandungannya akan diharamkan sepenuhnya di Terengganu.

“Pengharaman ini bukan hanya tertumpu kepada vape jenis ‘mushroom’ sahaja, tetapi melibatkan semua perisa vape tanpa pengecualian,” jelasnya.

Sebelum ini, Mantan Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan agar penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total.

Baginda bertitah, saranan itu dibuat susulan kebimbangan baginda terhadap penyalahgunaan dadah yang semakin meningkat terutama dalam kalangan belia berdasarkan statistik oleh Agensi Anti Dadah Kebangsan (AADK).

Titah baginda, antara punca utama golongan muda terjebak dalam ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung bermula dengan penggunaan vape.