KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri akan bertemu anak Terengganu yang berada di perantauan sekali gus akan meraikan mereka di dalam satu majlis berbuka puasa istimewa.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Urus Setia Majlis berbuka Puasa Anak Terengganu di Perantauan di Wisma Darul Iman bagi memastikan agenda itu berjalan lancar.
“Alhamdulillah, kerajaan Negeri Terengganu akan menganjurkan acara tahun di bulan Ramadan bersama anak-anak Terengganu di perantauan.
“Majlis berbuka puasa ini akan diadakan pada 15 Mac di Dewan D’MAEPS Serdang Selangor,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Justeru beliau menjemput anak-anak perantau yang berada di sekitar Lembah Kelang untuk sama-sama hadir bagi memastikan majlis itu nanti akan meninggalkan kenangan yang penuh bermakna.
“Pihak kami memohon jutaan kemaafan ekoran kapasiti muatan dewan agak terhad dan terpaksa membuat sistem pendaftaran.
“Semoga majlis ini dipermudahkan,” ujarnya.