Home Berita PAS Terengganu

Terengganu ambil langkah drastik lindungi penyu

11
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan mengambil langkah penguatkuasaan yang menyeluruh di kawasan berisiko tinggi termasuk zon pendaratan dan perairan terlarang bagi menangani ancaman terhadap spesies penyu di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim,berkata diantaranya, operasi penguatkuasaan pukat pari sama ada di Pengkalan-Pengkalan Nelayan atau di laut, terutama Daerah Kemaman dan Dungun yang telah dikenalpasti banyak menggunakan pukat pari.

“Yang kedua, operasi penguatkuasaan terhadap nelayan yang menceroboh kawasan santuari penyu,” jelasnya.

“Yang ketiganya, penguatkuasaan undang-undang di bawah Enakmen Pemuliharaan Penyu Terengganu 1951 pindaan 2021 dengan hukuman yang lebih berat terhadap kesalahan yang melibatkan kematian penyu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili, dalam sesi pergulungan Usul Menjunjung Kasih sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas yang berlangsung di Wisma Darul Iman, semalam.

Dr Azman juga turut menegaskan bahawa penguatkuasaan turut dilaksanakan di bawah peruntukan negeri.

Tambahnya, di sebalik usaha besar-besaran melepaskan lebih tiga juta anak penyu sejak 2018, hanya seekor daripada setiap 1,000 yang berjaya kembali semula ke pantai untuk bertelur.

“Penyu ialah spesis haiwan zaman dinasour yang masih survive sehingga hari ini.

“Rekod perlepasan anak penyu Terengganu dari tahun 2018-2024 ialah sebanyak 3,025,735 ekor, banyak yang kita lepas.

“Statistik bagi setiap 1,000 ekor anak penyu yang dilepaskan, 1 ekor akan berjaya hidup sehingga dewasa dan kembali semula ke pantai di mana ia menetas, dengan nisbah 1/1000,” katanya.

 

Dr. Azman turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kematian penyu yang dipercayai berpunca daripada perbuatan manusia serta pelbagai ancaman yang dihadapi spesies tersebut.

“Walaupun penyu mempunyai kemampuan berenang merentasi lautan antara benua, survival penyu terdedah kepada banyak ancaman.

“Dari tahun 2015 – 2025 sebanyak 592 ekor kematian penyu direkodkan.

“Pada tahun 2024 sahaja, sebanyak 52 ekor kematian penyu dilaporkan, jumlah kematian yang sama pada tahun 2023, dari Januari sehingga Mac 2025 sebanyak 22 kematian penyu telah dilaporkan,” jelas beliau.

Beliau turut menjelaskan bahawa meskipun punca sebenar kematian penyu sukar dipastikan, corak penemuan bangkai menunjukkan elemen perbuatan manusia yang mencurigakan.

“Bangkai penyu yang hanyut ditemui terperangkap dalam pukat nelayan, terdapat tali yang membelit disekeliling bangkai penyu.

“Terdapat batu yang diikat pada bangkai penyu bertujuan menengelamkan penyu yang mati ke dasar lautan.

“Bolehlah disimpulkan kematian yang berlaku dalam kes-kes di atas adalah angkara perbuatan tangan-tangan manusia,” tegas beliau. ADUN Jabi itu turut menambah, bagi menangani ancaman terhadap penyu.