Home Berita PAS Terengganu

Terengganu Akan Terus Perkasakan Agenda Syariah

9
SHARE

HULU TERENGGANU – Terengganu mencatat sejarah apabila pelaksanaan hukuman sebat syariah dilakukan secara terbuka berjaya mendapat sokongan rakyat, membuktikan bahawa undang-undang jenayah Islam bukan bersifat menyeksa, tetapi mendidik dan adil untuk semua.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menjelaskan bahawa bidang kuasa negeri dalam pelaksanaan undang-undang syariah masih terhad, namun kerajaan negeri berusaha melaksanakan apa yang termampu secara berperingkat.

“Kita tak boleh laksanakan hudud dan qisas kerana bukan dalam bidang kuasa kita.

“Yang ada dalam kuasa kita hanyalah hukuman takzir dan ia juga sangat terhad, hanya 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Khatam Iqra’ Pintar dan Pelancaran Kelab Motor Rakan Masjid, di Masjid Kampung Kubang Palas, di sini semalam.

Turut hadir, ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail, Pegawai Agama Daerah Hulu Terenganu, Adnan Abdullah.

Menurut Dr. Muhammad Khalil, kerajaan negeri memilih untuk memperkasakan aspek pelaksanaan hukuman takzir, termasuk langkah berani melaksanakan hukuman sebat secara terbuka yang memberi impak besar dalam mendidik masyarakat.

“Sebelum ini, hukuman sebat hanya dilaksanakan dalam penjara dan tidak diketahui masyarakat umum.

“Sekarang kita berjaya laksanakannya di luar penjara dan mendapat liputan meluas serta sokongan rakyat yang melihat keadilan undang-undang Islam,” jelasnya.

Beliau turut menceritakan pengalaman peribadinya menyaksikan sendiri dua bentuk pelaksanaan hukuman sebat, iaitu sivil dan syariah, yang memberikan perspektif jelas tentang keadilan hukum Islam.

“Saya pergi ke Penjara Marang dan lihat sendiri pesalah dadah kena sebat sivil, rotannya besar, tak tutup aurat, dan sebatannya menyebabkan kulit melecur dan nampak isi.

“Sebaliknya, sebat Islam menitikberatkan penutupan aurat, menggunakan rotan ringan dan dilakukan dengan penuh adab, tujuannya bukan menyeksa, tetapi mendidik,” tegas beliau.

Menurutnya, pelaksanaan hukuman sebat di Masjid Ladang tempoh hari bukan hanya berjaya dari sudut teknikal, malah memberi mesej jelas bahawa Islam itu membawa keadilan dan rahmat untuk semua.

“Pesalah itu sendiri kata dia insaf dan sedar selepas dikenakan hukuman.

“Inilah bukti undang-undang Islam boleh dilaksanakan secara adil dan mendidik, bukan zalim seperti yang sering digambarkan,” tambahnya.

Beliau berharap mesej ini bukan sahaja menyentuh hati rakyat Terengganu, malah membuka mata masyarakat Malaysia bahawa undang-undang jenayah Islam mampu membawa perubahan kepada pembangunan akhlak dan moral ummah.

“Saya harap majlis seperti ini membawa keberkatan dan jadi pemangkin pengukuhan peranan masjid dalam mendidik masyarakat.

“Masjid bukan sekadar tempat ibadah, tetapi pusat pembangunan insan dan transformasi sosial,” ujarnya.