KUALA TERENGGANU – Sebanyak RM1.082 juta disampaikan kerajaan negeri hari ini, sebagai insentif kemenangan bagi menghargai sumbangan atlet dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan (Skan Para (Para) SUKMA pada tahun 2024.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, kerajaan negeri mengagihkan insentif kemenangan pada kadar bersesuaian dengan pencapaian kali ini iaitu sebanyak RM3,000 untuk pemenang pingat emas, RM2,000 untuk pemenang pingat perak dan RM1,000 bagi pemenang pingat gangsa, sama rata untuk atlet bagi kedua-dua temasya berkenaan.
“Secara keseluruhannya, pencapaian Kontinjen SUKMA Terengganu 2024 masih lagi boleh dibanggakan. Walaupun pencapaian kita ditangga kelima keseluruhan pada kali ini dengan memperolehi 41 Emas, 36 Perak dan 47 Gangsa dibelakang Sarawak, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.
“Pasukan Judo mendapat pingat emas terbanyak dengan kutipan enam emas, diikuti Berbasikal, Pencak Silat dan Memanah yang mendapat lima emas. Keempat-empat sukan ini kita menjadi juara keseluruhan.
“Sukan tempur pula terus menjadi penyumbang utama kepada kontinjen dengan kutipan keseluruhan adalah sebanyak 18 pingat Emas dan bagi sukan berpasukan, pencapaian pada SUKMA kali ini agak baik,” jelasnya dalam ucapan perasmian yang disampaikan pada majlis penyampaian insentif kemenangan temasya sukan tersebut di Dewan Besar Wisma Darul Iman, hari ini.
Beliau menambah, kali ini buat pertama kalinya kontinjen Para SUKMA diberi penghargaan yang sama dengan atlet SUKMA.
“Pencapaian Para SUKMA adalah di tempat kesembilan daripada 15 penyertaan dengan kutipan 10 emas, 19 perak dan 15 gangsa dan ia adalah pencapaian yang baik berbanding tempat ke 13 pada sukan PARA SUKMA 2022 yang lalu.
“Tahniah saya ucapkan,” katanya.
Seramai 471 atlet menerima insentif berkenaan melibatkan 414 atlet SUKMA dan 57 atlet Para SUKMA.
Sukan berbasikal menerima insentif tertinggi iaitu sebanyak RM112,000 setelah meraih pencapaian lima pingat emas, tiga perak dan empat gangsa.