Home Berita PAS Terengganu

Terengganu, ACWA Meterai Perjanjian Bangunkan Solar Terapung Terbesar

17
SHARE

Oleh : Daing Siti Norbaity Abd Latif

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri melalui Konsortium Terengganu Inc – TNB Power Generation Sdn. Bhd (TNB GENCO) dan ACWA Power yang berpangkalan di Riyadh, Arab Saudi memeterai perjanjian pembangunan bersama bagi projek solar terapung berskala besar di Tasik Kenyir, dengan kapasiti 1GW.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek Solar Fotovoltaik Terapung (FPV) itu bakal menjadi yang terbesar di Malaysia dan membuka peluang baharu dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, pekerjaan serta pelaburan.

“Projek ini adalah selaras dengan aspirasi Terengganu untuk mencapai 35 peratus Tenaga Boleh Baharu menjelang 2025.

“Doakan agar projek dan usaha sama ini berjalan lancar serta berjaya mencapai objektifnya,”ujarnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Perjanjian tersebut ditandatangani sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) semalam dan menjadikan projek itu juga antara yang terbesar di Asia Tenggara.

Majlis pertukaran dokumen Heads of Terms (HoT) Joint Development Agreement (JDA) disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri  Fadillah Yusof dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri bagi Hal Ehwal Antarabangsa, Kementerian Pelaburan Arab Saudi, Sara Al Sayed dan Timbalan Menteri Luar bagi Hal Ehwal Ekonomi dan Pembangunan Arab Saudi, Abdullah Zarah.

Perjanjian tersebut bukan sahaja membangunkan tenaga bersih melalui teknologi Floating Photovoltaic (FPV), malah memanfaatkan kelebihan seperti pengurangan penyejatan air dan penggunaan tanah yang lebih cekap.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed, juga menyifatkan perjanjian ini sebagai pencapaian penting dalam perjalanan tenaga boleh diperbaharui negara.

“Dengan kapasiti minimum 1GW, pemasangan solar terapung ini akan menyumbang secara besar kepada sasaran TBB Malaysia sambil mempamerkan penyelesaian tenaga bersih yang inovatif.

“Kerjasama tiga hala ini bakal memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai hab serantau teknologi solar terapung, serta menyumbang kepada sasaran net-zero menjelang 2050,” ujar beliau.

Tambahnya, secara tidak langsung kerjasama tersebut membuktikan Terengganu bukan hanya bertumpu kepada sumber petroleum semata-mata, malah bersedia menerajui transformasi hijau negara dan rantau ini.