Home Berita PAS Terengganu

Terap Sepenuhnya Konsep Islam Sebagai Agama Negara

94
SHARE

KUALA LUMPUR – Konsep Islam sebagai agama negara perlu diterapkan sepenuhnya bagi memastikan negara ini berlandaskan prinsip-prinsip keadilan, kesejahteraan dan kerukunan.

Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Islam mengajarkan keadilan untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama.

Tegas beliau, Islam adalah agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara dan Islam juga menjamin ketulusan agama-agama lain.

“Umat Islam perlu memahami objektif Islam yang berbeza dengan pengenalan agama lain dan menafsirkan ajaran Islam melalui Al-Quran sebagai panduan utama.

“Allah juga melarang umat Islam merobohkan tempat-tempat pertapaan, gereja-gereja (kaum Nasrani), serta tempat sembahyang (kaum Yahudi) sebagaimana terkandung dalam Al-Quran.

“Sejarah menunjukkan persatuan agama-agama lain berusaha menunggang kekuasaan atas agama Islam. Islam mengharamkan paksaan terhadap agama lain dan menegaskan bahawa umat Islam dilarang memaki agama-agama lain,” ujarnya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.

Dalam ucapannya, Abdul hadi turut menyuarakan kebimbangan terhadap masalah ketidakseimbangan ekonomi dengan majoriti yang miskin terdiri daripada orang Melayu dan pengagihan hasil bumi yang tidak adil turut menyumbang kepada masalah ini.

“Peluang pekerjaan harus diperbaiki kerana ramai golongan berpendidikan masih menjadi penganggur.

“Walaupun ekonomi negara meningkat, ia tidak memberi manfaat kepada rakyat malah bebanan bertambah dengan kenaikan cukai yang menambah kesulitan,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru agar kerajaan memperbaiki situasi ini demi kesejahteraan rakyat dan keadilan sosial.