Oleh :Fakrusy Syakirin Ahmad Sabri @trdi.my
KUALA TERENGGANU, 25 Jun – Seluruh masyarakat dinasihatkan agar tidak mudah percaya dan menyebarkan maklumat tidak sahih seperti teori konspirasi yang sengaja ditularkan di media sosial pada masa kini.
Saranan tersebut disuarakan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus yang menjelaskan orang ramai perlu memahami konsep bagi informasi tersebut.
“Pertama adalah teori, bermaksud cerita atau bagaimana kisah tersebut didapatkan, ia bukan praktikal.
“Kedua adalah konspirasi, bermaksud pakatan atau tindakan hasil daripada sebuah pakatan yang besar, bertujuan tidak baik dengan kesan skala besar seperti plot berbentuk rahsia,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI bersempena Munajat Rakyat 3.0 hari ini.
Menurut beliau, tindakan pertama adalah orang ramai boleh mendengar, tapi siasatan lanjut perlu dilakukan bagi mengesahkan jika ia ada dalil yang kuat.
“Jika kita ingin sembahyang atau sembelih korban, kita juga perlu ada ayat yang menyebutnya.
“Jadi pentingnya kita bertindak melalui siasat terlebih dahulu sesuatu maklumat diperoleh, kemungkinan perkara yang dikatakan itu sebenar berlaku atau cakap kosong semata-mata,” jelasnya.
Ustaz Azhar menceritakan, Nabi Muhammad SAW berkata ‘jangan buang semua dan jangan ambil semua’ bagi menekankan bahawa informasi mengikuti syarak boleh diambil manakala yang melanggarnya perlu dibuang.
“Kalau kita nak kongsi atau ‘share’ di Facebook, sebar perkara baik, kalau ia berunsur haram, maksiat atau aib hindarilah kerana kita akan mendapat dosa sama.
“Oleh itu, tanyalah ibu bapa, ustaz, para ilmuwan atau pegawai atasan berkenaan maklumat yang didapati, terutamanya dalam zaman masalah internet ini,” katanya lagi.