KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu akan memendekkan tempoh kelulusan permit bagi parti yang ingin mengadakan ceramah sepanjang tempoh kempen pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK) di Terengganu kepada dua hari sahaja.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, tempoh permohonan itu disingkatkan berbanding selama lima hari sebagaimana ditetapkan sebelum ini.
“Saya percaya semua parti yang bertanding adalah parti-parti yang sudah lama dan memahami perundangan dalam negara untuk memastikan PRN berjalan lancar dan selesa tanpa sebarang insiden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan di pusat penamaan calon Parlimen Kuala Terengganu dan Dewan Undangan Negeri Ladang di pekarangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu kira-kira 2,200 anggota ditugaskan memantau dan mengawal keselamatan di 32 pusat penamaan calon seluruh negeri.
Katanya, hasil tinjauan di beberapa pusat penamaan di sekitar Kuala Terengganu dan Marang mendapati semua penyokong dan pemimpin parti mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.
“Terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi kerjasama baik sepanjang proses penamaan pagi ini. Kita berharap suasana baik ini akan berpanjangan hingga proses pengundian 12 Ogos depan.
“Ada 14 hari lagi sebelum hari pengundian, kita harap semua parti ikut garis panduan yang ditetapkan kerana pihak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah beri taklimat panjang lebar mengenai peraturan yang ditetapkan,” ujarnya.