Home Berita PAS Perlis

Teguhkan Keimanan Hadapi Mehnah dan Cabaran

667
SHARE

Oleh: Amirul Syakirin

KANGAR : Setiap pendokong gerakan Islam disaran supaya meneguhkan keimanan ketika menghadapi mehnah dan tribulasi sepanjang berada di jalan perjuangan.

Demikian kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Yusni Md Piah ketika berucap dalam program Liqa’ Fikri PAS Kangar di Markaz PAS Padang Kota baru-baru ini.

Beliau berkata, iman yang ditanam hendaklah dipupuk dan dibajai sebaik mungkin kerana ujian yang bakal dihadapi pastinya akan mencabar keteguhan iman yang dimiliki.

“Kemanisan iman akan dapat dirasai setelah kita berusaha dan terus yakin dengan nusrah (pertolongan) kurniaan Allah,” ujar beliau.

Jelasnya, ujian di medan perjuangan ini adalah lumrah bagi seorang pendokong agama,  sepertimana yang dihadapi oleh para Nabi dan Rasul terdahulu.

Tambahnya lagi, Rasulullah S.A.W. sendiri, meskipun bergelar kekasih Allah, tetap menerima ujian dalam menyebarkan dakwah, bahkan apa yang ditanggung baginda adalah jauh lebih dahsyat berbanding apa yang diterima oleh mereka (para pendokong agama) pada hari ini.

“Nabi dizaman mudanya sentiasa disanjung dan menjadi kebanggaan keluarga sehingga digelar al-Amin, tapi apabila Nabi bawa Islam, maka Nabi mula dipulau dan dihina oleh masyarakat.

“Kita dalam menyampaikan dakwah tidaklah sehingga dikatakan gila seperti yang dihadapi oleh Nabi kita,” katanya.