Home Berita PAS Pahang

Tebing saliran runtuh meresahkan hati penduduk

72
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 13 Dis – Pihak berwajib diminta agar dapat membuat tindakan segera bagi mengatasi sebahagian tebing saliran di salah satu lorong kawasan perumahan di Taman Pelindung 2 Beserah runtuh di sini dua hari lepas.

“Langkah ini amat penting bagi memastikan keselamatan penduduk dapat dijaga sementara menunggu tindakan susulan. Saya berharap kerja-kerja siasatan, kawalan, dan pembaikan dapat dilaksanakan dengan segera demi kesejahteraan semua pihak yang terlibat,” ujar Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB Dato’ Andansura Rabu

Beliau berkata demikian ketika turun padang untuk meninjau keadaan dan bertemu dengan penduduk yang terkesan di sini semalam.

Beliau yang juga sebagai Timbalan Pesurujaya PAS Pahang, turut menyatakan komitmennya untuk memantau situasi ini dengan lebih dekat dan memastikan pihak berwajib mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk di kawasan tersebut.

Dalam kenyataannya, beliau menyampaikan penghargaan kepada pihak penyelenggaraan atas usaha pantas mereka dalam menyelesaikan pemasangan kanvas, yang sepatutnya dijalankan pada hari ini tetapi berjaya disiapkan lebih awal semalam.

Salah seorang penduduk berkata, kejadian itu merupakan pertama kali berlaku dalam tempoh lebih 20 tahun  mereka mendiami kawasan tersebut, yang melibatkan kira-kira 20 buah rumah di lorong berkenaan.

Mereka berharap langkah-langkah keselamatan jangka panjang akan diambil segera bagi mengelakkan kejadian serupa berulang di masa hadapan.

Susulan aduan yang diterima, pihak berwajib telah dimaklumkan pada hari kejadian untuk mengambil langkah segera.

Sementara itu, syarikat konsesi penyelenggaraan yang bertanggungjawab memaklumkan bahawa mereka kini dalam peringkat penelitian untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan.