Home Berita PAS Terengganu

TDM x TI Skill Festival 2025 sasar 5,000 peserta

6
SHARE

KUALA TERENGGANU, 15 Jun – Seramai 5,000 peserta dijangka menyertai National Training Week (NTW) 2025 dalam memperkukuhkan budaya pembelajaran berterusan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya warga Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata TDM x TI Skill Festival 2025 diadakan pada 15 dan 18 Jun 2025 di dua lokasi terpilih iaitu di PSKT dan juga di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Menurutnya, pogram tersebut merupakan kerjasama strategik dengan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp).

“Dengan misi membudayakan pembelajaran sepanjang hayat, inisiatif ini dijangka memberi manfaat langsung kepada komuniti, belia, pelajar, graduan, penjawat awam, pekerja swasta dan usahawan di Terengganu.

“Menariknya kami turut panjangkan penglibatan murid-murid sekolah di ladang-ladang kami di Sungai Tong, Setiu, Bukit Besi, Dungun dan juga Kemaman,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, satu majlis perasmian telah diadakan di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim.

Tambahnya, inisiatif itu selaras dengan matlamat kerajaan negeri untuk mencapai 30,000 penyertaan sepanjang minggu latihan kebangsaan yang berlangsung di seluruh negara.

“Program ini juga diadakan sebagai momentum kepada kejayaan TDM dalam NTW 2024 tahun lalu, di mana syarikat berjaya mencatat pencapaian cemerlang dan mendapat pengiktirafan sebagai Rakan Strategik Pantai Timur daripada KESUMA dan HRD Corp  semasa Majlis Kemuncak NTW 2024,” ujar beliau.