Home Berita PAS Terengganu

TDM santuni 800 Huffaz

18
SHARE

KUALA TERENGGANU – Anak syarikat kerajaan negeri , TDM Berhad bekerjasama dengan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) menyantuni 800 Huffaz di program Himpunan Huffaz 3.0 sempena Madinah Ramadan, di Dataran Drawbridge, baru-baru ini.

Himpunan bersebut berjaya mengumpulkan anak-anak berusia 12 hingga 17 tahun dari sekolah bawah Yayasan Terengganu, sekolah bawah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu dan Sekolah Agama Tahfiz Swasta.

Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, pihaknya menyambut baik misi dan visi Kerajaan Negeri Terengganu untuk menterjemahkan impian ‘Baldatun Toyyibatun Wa Robbun ghofur’ dapat direalisasikan dengan penuh kesedaran dan bertanggungjawab.

“TDM melalui kerjasama i-MiTS berbesar hati dapat mengumpulkan para Huffaz yang merupakan salah satu inisiatif ke arah pemantapan modal insan.

“Semoga program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TDM ini dapat memanfaatkan semua pihak dalam usaha untuk memartabatkan pendidikan tahfiz di Negeri Terengganu seterusnya menjayakan sasaran kerajaan untuk melahirkan lebih ramai huffaz profesional menjelang 2050,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah yang menyempurnakan majlis perasmian program tersebut merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak TDM Berhad.

“Terima kasih kepada TDM di atas sokongan dan sumbangan yang diberikan dalam menjayakan majlis ini. Kita mahu melahirkan generasi pelajar yang berkemahiran dan dalam masa yang sama juga adalah penghafaz Al-Quran supaya mereka mampu menjadi pemimpin berkualiti yang berteraskan nilai Islam.

“Tanggapan masyarakat bahawa individu lulusan pendidikan tahfiz dan golongan huffaz hanya sesuai menceburi kerjaya dalam bidang berkaitan agama sahaja harus diperbetulkan.

“Ramai huffaz telah menceburi kerjaya profesional seperti doktor, peguam, malah ada memilih dunia perniagaan dan mampu bergelar usahawan berjaya,” katanya.

Pelbagai pengisian menarik diadakan sempena himpunan tersebut antaranya santapan Zikir Qurani, Majlis Khatam Al-Quran dan tahlil, tazkirah, majlis iftar dan di akhiri dengan solat berjemaah maghrib dan isyak serta Tarawih.