Home Berita PAS Terengganu

TDM salur RM1.16 juta untung sawit kepada LTAWNT

4
SHARE

KUALA TERENGGANU – TDM Berhad hari ini mengumumkan pembayaran perkongsian keuntungan berjumlah RM1,164,670 kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, jumlah tersebut adalah hasil kejayaan Projek Tanaman Kelapa Sawit di Ladang Air Puteh, Mukim Tebak, Kemaman, yang diuruskan bersama sejak hampir tiga dekad lalu.

“Usaha sama strategik antara TDM dan LTAWNT adalah contoh terbaik bagaimana kolaborasi antara sektor korporat dan kerajaan negeri dapat memaksimumkan potensi industri perladangan negara.

“Kejayaan ini bukan sahaja memberi pulangan kewangan yang mampan kepada kedua-dua pihak, malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja, serta memperkukuh kesejahteraan komuniti setempat,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Penyerahan replika cek disempurnakan oleh Najman kepada Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A. Rahman @ Yusof, dengan disaksikan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham; dan Pengerusi TDM, Tengku Seri Bijaya Raja.

Najman menjelaskan, projek yang diusahakan TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) itu melibatkan pengurusan kawasan seluas 1,336 hektar milik LTAWNT di Ladang Air Puteh sejak perjanjian dimeterai pada tahun 1996.

“Kejayaan berterusan ini membuktikan kekuatan model perniagaan TDM yang mampu mengekalkan prestasi positif walaupun berdepan cabaran harga komoditi global yang tidak menentu.

“Selain memberi pulangan kewangan yang signifikan, TDM turut menyokong usaha Kerajaan Negeri meningkatkan produktiviti tanah terbiar, memacu kelestarian pertanian melalui amalan perladangan mampan, dan memperkukuh kedudukan Terengganu dalam rantaian nilai industri sawit,” katanya.

Beliau menambah, inisiatif itu selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 30) yang menekankan pembangunan ekonomi inklusif, kesejahteraan rakyat, dan kelestarian alam sekitar.

“Sebagai kumpulan berteraskan sektor perladangan dan penjagaan kesihatan, TDM kekal komited meningkatkan kecekapan operasi, meneroka peluang baharu, dan memastikan setiap projek memberi impak positif kepada negeri dan masyarakat.

“Dengan asas yang kukuh, TDM yakin kerjasama bersama LTAWNT akan terus berkembang menjadi pemangkin kemakmuran ekonomi negeri Terengganu pada masa hadapan,” ujarnya.