KUALA TERENGGANU – Seramai 372 nelayan dari sekitar Seberang Takir menerima bantuan barangan keperluan asas menerusi Program Bantuan Khas Nelayan Musim Tengkujuh anjuran TDM Berhad (TDM) dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir.
Program yang berlangsung di Dewan Sivik Seberang Takir, Kuala Nerus itu bertujuan meringankan beban golongan nelayan yang terjejas akibat cuaca tengkujuh yang saban tahun menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Haji Mohd Nor Hamzah menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terus menunjukkan keprihatinan terhadap nasib komuniti nelayan.
“Nelayan adalah tulang belakang kepada bekalan makanan laut negara. Setiap tahun, musim tengkujuh memberi cabaran besar kepada mereka.
“Bantuan seperti ini bukan sahaja meringankan beban, tetapi juga tanda sokongan terhadap pengorbanan dan jasa mereka,” katanya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat serta Ketua Audit Dalaman TDM, Azrol Hadi Rosalan bersama barisan pengurusan TDM.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, TDM komited meneruskan peranan sebagai entiti korporat yang dekat dengan masyarakat.
“TDM akan terus memastikan golongan nelayan tidak tercicir, terutama ketika musim tengkujuh.
“Program ini adalah manifestasi tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami dalam menyokong kesejahteraan komuniti,” jelasnya.

Menurut TDM, inisiatif itu turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 10: Reduced Inequalities) melalui bantuan tersasar kepada kumpulan yang paling terkesan dengan perubahan cuaca, khususnya di musim tengkujuh ini.
Tambah TDM, program sedemikian diharap dapat memperkukuh usaha kolaboratif antara kerajaan, komuniti dan syarikat korporat demi meningkatkan taraf hidup masyarakat yang akan menyumbang kepada pencapaian agenda pembangunan di peringkat negeri dan negara.





