Home Berita PAS Terengganu

TDM jayakan Program ‘Ceria Ke Sekolah’ bersama murid SK Kampung Fikri

21
SHARE

KUALA TERENGGANU – TDM Berhad meneruskan komitmennya terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui penganjuran program ‘Ceria ke Sekolah’ bersama murid-murid Sekolah Kebangsaan Kampung Fikri (SKKF), Sungai Tong.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, program CSR syarikat berbentuk pembelajaran itu menjadi platform penting untuk mengukuhkan hubungan antara syarikat dan komuniti.

Katanya, ia selaras dengan komitmen TDM dalam menyokong pembangunan sosial dan pendidikan.

“Kami memilih SKKF yang merupakan salah sebuah sekolah dalam ladang kami yang mempunyai murid paling ramai iaitu seramai 122 orang berbanding sekolah lain dalam Kompleks Sungai Tong seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Tayor (34 murid), SK Bari (32 murid) dan SK Jaya (48 murid),” ujarnya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut katanya, TDM mengambil peluang untuk bersama-sama anak komuniti tempat beroperasi dengan tagline ‘Ceria ke Sekolah’ bagi memulakan sesi persekolahan tahun 2025 dengan ceria dan bersemangat.

“Dengan adanya program ini, diharapkan para pelajar dapat memasuki alam persekolahan dengan lebih yakin dan bermotivasi, seterusnya mencapai kecemerlangan dalam pendidikan mereka,” katanya.

Menurut beliau program tersebut bukan sahaja melibatkan aktiviti berkumpulan dan penyerahan cenderahati kepada murid-murid, tetapi turut diserikan dengan aktiviti penanaman cili.

“Aktiviti ini dijalankan bersama Guru Besar SKKF, Mazlan Che Ismail, pihak pengurusan TDM dan murid-murid dengan kerjasama TDM Agrobiz Sdn Bhd.

“Melalui program ini, murid-murid berpeluang mempelajari teknik penanaman cili sambil memupuk minat dalam bidang pertanian,” ujarnya.

Najman berkata, pihaknya bukan sahaja menumpukan kepada pertumbuhan perniagaan tetapi juga menyokong pendidikan dan memperkasa kesejahteraan komuniti.

“Program ini adalah salah satu cara untuk kami memahami keperluan komuniti di tempat kami beroperasi untuk manfaat jangka panjang,” ujarnya.