Home Artikel PAS Selangor

TAUSIYATUL QULUB | Bagaimana Keadaan Anda Pagi Ini ?

320 views
SHARE


TAUSIYATUL QULUB

TARIKH: 16 ZULHIJJAH 1438H

Bagaimana keadaan anda pagi ini?

Pertanyaan biasa yang dijawab dengan pelbagai jawapan.

Ada yang mengatakan ‘baik’.
Ada juga yang mengatakan ‘Alhamdulillah,baik-baik sahaja’.
Ada juga yang mengatakan ‘biasa-biasa sahaja’.
Dan tidak kurang yang menjawab dengan isyarat angguk atau senyum sahaja.

Bagaimana pula jawapan generasi terdahulu. Ayuh kita selak kembali lembaran sejarah untuk memahami jawapan mereka apabila ditanya: ‘Bagaimana keadaan kamu pagi ini?’

Mudah-mudahan kita mendapat pedoman dan pelajaran yang sangat bernilai.

1. Nabi SAW pernah ditanya: ‘Bagaimana keadaan tuan pagi ini?’ Baginda bersabda: ‘Dalam keadaan baik. Jauh daripada lelaki yang tidak melihat jenazah (menghadiri pengebumian) dan menziarahi orang sakit’

2. Sayiduna Abu Bakar As-Siddiq radhiyallahu ‘anhu pernah ditanya: ‘Bagaimana keadaanmu pagi ini?’. Beliau menjawab: ‘Seorang hamba yang bersungguh-sungguh menuju Allah SWT yang Maha Mulia, aku berpagian dalam keadaan ditadbir dengan kehendakNya’

3. Sayidatuna Aisyah Radhiyallahu ‘anha pernah ditanya: ‘Bagaimana keadaanmu pagi ini?’ Beliau menjawab: ‘Kesolehan, dan segala puji bagi Allah SWT’.

4. Ar-Rabii’ rahimahullah apabila ditanya: ‘Bagaimana keadaan kamu pagi ini?’ Beliau menjawab: ‘Kami berpagian dalam keadaan lemah (sangat berhajat kepada Allah SWT) dan berdosa , memakan rezeki yang Allah SWT kurniakan kepada kami dan menunggu ajal-ajal kami’

5. Nabi ‘Isa alaihissalam pernah ditanya: ‘Bagaimana keadaanmu pagi ini?’ Baginda menjawab: ‘Aku berpagian dalam keadaan Allah SWT menguasai diriku, api di hadapanku, kematian dalam pencarianku, aku tidak memiliki apa yang aku harapkan, aku tidak berupaya menghalang apa yang aku tidak suka, maka siapakah daripada kalangan faqir yang lebih faqir daripadaku?’

6. Sayiduna Ali bin Abi Talib radhiyallahu ‘anhu pernah ditanya: ‘Bagaimana keadaamu pagi ini?’ Beliau menjawab: ‘Insan yang lemah dan berdosa, makan rezeki yang Allah SWT kurniakan padaku, dan menunggu ajalku’

7. Para sahabat pernah ditanya oleh Rasulullah SAW: ‘Bagaimana keadaan kalian pagi ini?’ Mereka menjawab: ‘Kami dalam keadaan beriman kepada Allah SWT’. Baginda SAW bertanya lagi: ‘Apa tanda Iman kamu semua?’ Mereka menjawab: ‘Kami bersabar menghadapi musibah, kami bersyukur atas nikmat dan kelapangan , kami redha dengan semua ketetapan Allah SWT’. Nabi SAW bersabda: ‘Jika demikian, Demi Allah SWT kalian semua benar-benar orang yang beriman’

8. Rasulullah SAW pernah bertanya kepada seorang lelaki: ‘Bagaimana keadaan kamu pagi ini wahai fulan?’ Lelaki itu menjawab: ‘Dalam keadaan Allah SWT merahmati tuan wahai Rasulallah SAW. Nabi SAW menjawab: ‘Inilah yang saya kehendaki daripada kamu’
        
Demikian sebahagian jawapan yang sangat besar NILAINYA kepada JIWA KITA. Sebagai PANDUAN untuk menjadi HAMBA yang benar-benar KENAL ERTI IMAN dan KETAATAN.

Selamat berpagian sebagai hamba Allah SWT yang tulen!

SEJAHTERA BERSAMA ISLAM

US SYEIKH MUHD MUJAHID
Pengerusi AKTAR DPPNS 17/19