Home Berita PAS Pahang

TASTI As-Solihin ke-4 KotaSAS dirasmikan bersama rombongan Kedah

122
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA,12 Nov : Taman Asuhan Tunas Islam (TASTI) As-Solihin ke-4 di KotaSAS Kuantan telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah Andansura Rabu di sini kelmarin.

“Walaupun TASTI ini merupakan Pilot Project Indera Mahkota, namun ia telah menjadi sebagai satu model yang baik untuk negeri Pahang.

“Idea untuk mengembangkan TASTI As-Solihin ini kepada premis kedua, ketiga dan keempat adalah kerana perkembangan dan pengurusannya yang baik, mempunyai pendidik yang sangat berdedikasi dan komited dalam melaksanakan tugas mereka,” kata Andansura Rabu.

Sehari sebelum majlis perasmian tersebut, TASTI ini telah menerima rombongan Lawatan Penanda Aras dari Lajnah Pembangunan Keluarga Dewan Muslimat PAS (DMP) Negeri Kedah bersama pengusaha dan pendidik TASTI Kedah seramai 32 orang yang telah berkampung di KotaSAS.

Dalam ucapan perasmian tersebut Andansura Rabu berkata penanda aras sangat penting untuk melihat dan menilai sejauh mana setiap standard yang telah ditetapkan oleh pihak-pihak yang berkuasa dapat dicapai.

“Sebagai contoh TASTI adalah di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memberi pengarahan setiap standard dan piawaian yang telah ditetapkan.

“Penanda aras ini adalah kerja yang berterusan merupakan salah satu daripada sistem pengurusan, perancangan, pelaksanaan, kawalan, serta penambahabaikan”, ujarnya lagi.

Beliau seterusnya mengharapakan agar lawatan ini dapat menghasilkan perkongsian yang boleh memantapkan lagi perkhidmatan yang berkualiti, membina satu jenama yang baik dalam masyarakat .

Terdahulu TASTI As-Solihin telah dianugerahkan Penarafan TASKA Lima Bintang oleh Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama lima agensi Kolej Universiti Yayasan Pahang, JKM, Majlis Bandaraya Kuantan dan Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia Kuantan.

Turut hadir dalam majlis ini adalah Ketua Lajnah Pembangunan Keluarga DMP Kedah Norfarakhin Razali, Ketua Lajnah Pembangunan Keluarga DMP Pahang Salwani Salleh, Ahli Jawatankuasa DMP Negeri Pahang dan kawasan serta 10 orang pengusaha-pengusaha TASTI Kedah juga Ketua PAS Cawangan KotaSAS Azman Musa bersama Ahli Jawatankuasanya.