HULU TERENGGANU – Tasik Kenyir yang dibadai banjir puing beberapa hari lalu disahkan selamat untuk dikunjungi para pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya telah melakukan tinjauan dan diberikan taklimat oleh pihak berwajib mengenai perkara terbabit.
“Air masih berada pada paras yang selamat, banjir baru-baru ini juga tidak memberikan kesan besar, Tasik Kenyir masih mampu menampung kadar air.
“Keadaan air juga sangat jernih ketika kami sedang melakukan tinjauan,” katanya selepas tinjauan terbabit semalam.
Menurut Ariffin, pelancong yang sudah membuat tempahan menginap dan menaiki rumah bot atau bot laju boleh datang seperti biasa.
“Keadaan air di tasik ini sudah kembali berkurang, sebelum ini agak sedikit tinggi daripada kebiasaan,” katanya.
Mengulas lanjut tentang keselamatan pengunjung, pengusaha bot Tasik Kenyir perlu memastikan pelancong memakai jaket keselamatan dan sebagainya.
Dalam perkembangan berbeza, Ariffin turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang membuat penelitian bagi membenarkan pelancong ke pulau di negeri itu.
“Kita sedang berbincang untuk membenarkan pelancong ke pulau kerana sebelum ini angin masih lagi kuat, kita tangguh dulu sementara atas faktor keselamatan.
“Insya-Allah dalam beberapa hari lagi kita semua boleh ke pulau,” tambah beliau