Home Berita PAS Terengganu

Tarik anak muda ke sektor pertanian

6
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri digesa untuk memperkukuhkan sektor pertanian negeri dengan memberi fokus kepada penglibatan generasi muda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli, berkata usaha itu penting dalam memastikan pertanian kekal sebagai sektor yang mampan serta mampu menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negeri dalam jangka masa panjang.

“Kita mengharapkan agar lebih ramai anak muda yang akan turut menceburi industri pertanian ini dengan menyediakan lebih banyak latihan dan kursus kepada anak-anak muda agar mereka lebih tertarik untuk berada dibidang pertanian.

“Saya percaya kerajaan negeri ada mengerakkan langkah strategik seperti pembangunan teknologi dan inovasi yang lebih baik untuk perkembangan pertanian di negeri ini.

“Kita mengharapkan agar lebih ramai anak muda yang akan turut menceburi industri pertanian ini dengan menyediakan lebih banyak Latihan dan kursus kepada anak-anak muda agar mereka lebih tertarik untuk berada di bidang pertanian.

“Skim insentif seperti geran untuk usahawan tani boleh dikembangkan bagi menarik lebih ramai peserta,” katanya ketika membahaskan titah DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena istiadat Pembukaan Penggal ketiga DUN ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mohd Fadhli turut menegaskan pendekatan menyeluruh perlu diambil bagi mengurangkan kebergantungan kepada import makanan serta mengukuhkan daya tahan ekonomi negeri dalam sektor agro makanan.

“Realiti Semasa, Sektor pertanian menyumbang dalam peratusan yang kecil kepada KDNK negara, dan kita masih bergantung pada import makanan seperti beras dan sayuran dari luar.

“Langkah yang dibawa oleh Kerajaan negeri ketika ini amat mengujakan rakyat diluar sana apabila Terengganu mula mengeluarkan makanan sendiri,” jelasnya.

Beliau turut menekankan bahawa langkah memperkasakan infrastruktur pertanian seperti Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan penyediaan teknologi moden dapat membuka lebih banyak peluang kepada usahawan muda untuk meneroka bidang tersebut.

Difahamkan, terdapat lima lokasi TKPM yang telah dikenal pasti di Terengganu sebagai pusat pengeluaran berasaskan teknologi tinggi dan skala komersial. Projek ini juga merupakan sebahagian daripada pelaksanaan strategi di bawah Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3).

“Projek ini dicadangkan sebagai satu strategi di bawah Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) untuk menggalakkan pelaksanaan projek pertanian secara berskala besar, komersil dan berteknologi tinggi oleh usahawan termasuk sektor swasta.

“Saya mengucapkan tahniah diatas usaha Kerajaan negeri dalam membangunkan modal insan dan infrastruktur bersepadu yang saya kira bakal mengurangkan import dan meningkatkan eksport agro makanan di negeri ini,” tambahnya.