Oleh : Fatimah Din
MARANG – Tiada istilah ‘cukup’ dalam bab tarbiyah bahkan hakikatnya, ia adalah proses berterusan dan tanpa noktah.
Pengerusi Lajnah Tarbiyah Dan Perkaderan PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata tujuan berada di dalam PAS adalah kerana satu hati dan fikrah serta mempunyai cita-cita, perjuangan dan laluan yang sama.
“Dalam jemaah ini ada orang perlu jadi lantai, atap, dinding, tikar, tandas.. jika semua orang nak jadi karpet, siapa nak buat kerja? Jawatan ini tidak banyak dalam jemaah, jadi perlu berbagi,” jelasnya.
Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Marang berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di program Liqa’ Fikri Peringkat DUN Rhu Rendang pada malam Rabu 16 Januari di Dewan Pejabat Dewan Undangan Negeri(DUN) Rhu Rendang di sini.
Lebih 200 orang pimpinan PAS di semua peringkat dalam DUN tersebut hadir menjadikan dewan penuh sesak.
Ustaz Mohd Nor juga menjelaskan bahawa ukhwah ada hubung kait dengan jemaah Islam dengan membina kekuatan iman, kekuatan persaudaraan dan persediaan persenjataan.
“Kuatnya iman adalah hasil kuatnya persaudaraan jadi kita perlu bina kekuatan usrah dengan mesti digerakkan dan dijalankan secara berterusan,” ujarnya.
Di majlis itu juga turut diumumkan PAS Cawangan Sentul Patah dianugerahkan sebagai Cawangan Terbaik yang aktif menghidupkan usrah.