Home Berita PAS Perlis

Taqwa Prasyarat Kejayaan Guru PASTI

2091
SHARE

Oleh : Nur ‘Iffah

KULIM : Sebagai seorang pendidik, ketaqwaan adalah bekal dalam menghadapi  segala bentuk mehnah dan tribulasi dalam dunia pendidikan pada masa kini.

Demikian dinyatakan Ustaz Juwahir Amin, Timbalan Ketua Pengarah PASTI Malaysia sewaktu menyempurnakan majlis penutupan Kursus Semester 7 Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAK) & Kem Sahsiah Guru (KSG) Zon Utara pada 26 Mac lalu.

Memetik ayat kedua Surah al-Anfal yang menceritakan perihal sifat orang-orang yang beriman, beliau menjelaskan antara ciri orang yang beriman adalah ketinggian taqwa mereka kepada Allah S.W.T.

Ketinggian taqwa ini jelasnya lagi, akan melahirkan sikap sentiasa memuhasabah diri serta semangat membangunkan diri dalam diri pendidik Muslim yang menjadi teras kepada kejayaan seseorang pendidik.

“Para pendidik perlu berusaha untuk tidak meninggalkan tugas mereka di dalam meningkatkan ilmu dan kefahaman serta pengukuhan struktur tarbiyah diri masing-masing kerana perkara ini sangat penting dalam memastikan tarbiyah para pelajar turut terjaga,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut mengajak para guru untuk saling berganding bahu di dalam menggembeling tenaga memperkenalkan keindahan Islam melalui contoh tauladan yang baik kepada masyarakat.

“Jadilah duta PAS kepada mesyarakat dengan mempamerkan nilai-nilai akhlak semampu yang ada, kerana tugas berdakwah ini bukan milik saya tapi milik kita semua.

“Teruskan beristiqomah di jalan dakwah ini dan jangan sesekali berputus asa jika hasilnya itu tidak seberapa,” kata beliau mengakhiri ucapannya.

Seramai 132 orang guru pelatih (GP) PASTI telah menyertai kursus selama lima hari, bermula 22 sehingga 26 Mac yang lalu, bertempat di Kem PLKN Bukit Besar, Kulim, Kedah.

Kursus ini dianjurkan oleh Institut Perguruan PASTI Malaysia (IPPM), entiti di bawah PASTI yang bertanggungjawab menguruskan latihan perguruan kepada para guru PASTI.