Home Berita PAS Terengganu

TAPAi ubah hidup OKU lebih berdikari

39
SHARE

MARANG – Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di sekitar daerah ini boleh menarik nafas lega apabila mampu meningkatkan taraf hidup selepas mengikuti kelas jahitan dan kraftangan di Bengkel dan Butik Kraftangan, TAPAi yang terletak di Bangunan Perkedaian Wakaf Tapai.

Merupakan anak syarikat Koperasi Komuniti Cakna Wakaf Tapai Marang Berhad, TAPAi yang memberi peluang OKU berdikari dan memahirkan diri di bengkel jahitan itu mula beroperasi pada tahun 2017 selepas menerima geran ‘one off’ sebanyak RM18,000 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang disalurkan kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Wakaf Tapai.

Pengurusnya, Wan Nur Akmal Wan Ibrahim berkata, peruntukan tersebut kemudiannya digunakan untuk membeli mesin dan peralatan menjahit selain menambah baik susun atur bengkel untuk keselesaan pelatih.

“Sebelum itu, kita hanya latih pelajar di PPDK, apabila dapat geran kita buka bengkel jahitan TAPAi di salah satu lot kedai di bangunan ini. Di awal permulaan, kita ajar peserta untuk buat jahitan ringkas seperti bekas pensil, beg kecil dan lain-lain sehingga mereka mahir.

“Kita juga buat pemasaran secara ‘online’, apabila menerima banyak tempahan, JKM sarankan untuk mendaftar dengan Suruhanjaya Koperasi, bermula dari situ perniagaan kita semakin meluas,” ujarnya ketika ditemui di bengkel TAPAi, baru-baru ini.

Menurut Wan Nur Akmal, lebih membanggakan apabila dua pelatih TAPAi ketika ini sudah berjaya membuat produk berasaskan jahitan kraf sendiri di rumah tanpa perlu bimbingan daripada guru-guru di sini.

“Kita hanya menyasarkan golongan OKU sekitar daerah Marang. Setakat ini, kita ada tujuh orang pelajar, tiga daripadanya sudah mahir menjahit dan selebihnya dalam proses belajar.

Menurut beliau, fokus utama bengkel jahitan TAPAi adalah mempromosikan warisan negeri terutamanya batik Terengganu dengan menawarkan versi eksklusif dan mampu milik kepada peminatnya.

“Hasil ketekunan pelatih, dimana ada antara mereka OKU fizikal, pekak dan bisu, down sindrom dan lain-lain telah membawa beg-beg ini ke Dubai dan mendapat permintaan tinggi daripada duta-duta dan pelancong luar.

“Selain itu, hasil kerja tangan mereka juga ditempah oleh jabatan kerajaan, swasta untuk digunakan pelbagai program termasuk sebagai cenderahati,” ujarnya.

Katanya, TAPAi menyediakan dua orang guru khas untuk jahitan dan lima orang guru dari PPDK dimana tujuh orang guru ini yang bertanggungjawab membimbing pelatih untuk menyiapkan tempahan yang diterima.

“Cara mereka menerima arahan berbeza bergantung kepada prestasi masing-masing, tidak semua mampu menjahit, ada yang mampu menggunting, mengawal kualilti, jadi perkerjaan mereka berbeza bergantung kepada kemahiran.

“Untuk berkerja disini tiada tempoh masa, mana-mana OKU yang berminat untuk menjalani latihan dekat ini wajib ada kad OKU sahaja. Koperasi akan bayar mengikut hasil kerja mereka disamping elaun bulanan yang diterima daripada JKM,” jelasnya.

Wan Nur Akmal berkata, besar harapan beliau dan guru-guru di TAPAi agar masyakarat di luar sana membuka mata dan hargai hasil kerja tangan OKU ini dengan terus menyokong produk yang mereka hasilkan.

“Mereka ini insan terpilih dan jika diberi peluang mereka boleh buat lebih baik daripada kita manusia normal,” ujarnya.

Sementara itu, Siti Zulaikha Abdul Muin, 32, yang telah tiga tahun menjadi pelatih TAPAi berkata, dia amat bersyukur kerana dapat mempelajari ilmu jahitan kraf di bengkel tersebut.

“Disini ada guru-guru yang tidak jemu tunjuk ajar, kalau dulu saya ambil masa yang lama untuk menyiapkan sebiji beg kecil, alhamdulillah, kini saya boleh siapkan kira-kira 30 biji sehari hasil dorongan mereka,” katanya yang berazam untuk membuka kedai jahitan sendiri pada masa akan datang.