Home Berita PAS Terengganu

Tanjung Nesan Empat : Jejak Silaturrahim di Tanah Warisan

10
SHARE

Di tengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu, terdapat sebuah mukim besar yang dikenali sebagai Tanjung. Di dalamnya terdapat banyak kampung seperti Tanjung Kapur, Tanjung Jati, Tanjung Surau Pasir, Tanjung Teluk (yang telah pupus akibat hakisan pada tahun 1986), Tanjung Che Mat Tauke, Tanjung Surau Haji Mat Kerinchi, Tanjung Batu Satu, Tanjung Paya dan Tanjung Nesan Empat.

Kedudukan mukim Tanjung ini berdekatan dengan Istana Maziah, iaitu pusat pentadbiran Kerajaan Melayu Terengganu sebelum kedatangan Inggeris. Oleh itu, ramai pembesar negeri memilih untuk tinggal di sekitar istana bagi memudahkan urusan mereka.

Tinggalan rumah Dato’ Ratna. 

Di Kampung Tanjung Nesan Empat, sekurang-kurangnya empat orang pembesar yang banyak berjasa kepada Kerajaan Terengganu pernah menetap di situ.

Antaranya ialah Dato’ Biji Sura Nik Mohamad Nik Hitam, yang berkhidmat di bawah tiga orang Sultan Terengganu (Sultan Zainal Abidin III hingga Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah), Dato’ Sangsura Pahlawan, Wan Long Mohd Salleh Ahmad (Mufti Terengganu 1952–1957), serta Dato’ Bentara Ratna Haji Abdullah Yunus, ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri pada zaman Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.

Dato Bentara Ratna – Berdiri kiri. 

Turut berasal dari kampung ini ialah mantan Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Dato’ Seri Amar Diraja Wan Mokhtar Ahmad.

Pada 8 Jun 2025, satu majlis perjumpaan penduduk Kampung Tanjung Nesan Empat telah diadakan bertujuan mengeratkan kembali hubungan sesama jiran tetangga yang telah lama terpisah akibat tuntutan kehidupan masing-masing.

Seramai lebih kurang 300 orang penduduk hadir bersama keluarga mereka, mengimbau kembali kenangan silam yang kekal terpahat dalam ingatan.

Abd Manan. 

Saudara Abd Manan Embong, 66, yang mencetuskan idea perjumpaan ini, berkata rancangan ini diadakan untuk menyatukan semula penduduk Kampung Tanjung Nesan Empat kerana baginya, hubungan sesama mereka amat berharga.

“Saya mengajak beberapa lagi rakan sekampung untuk melakukan korban di Nesan Empat tahun ini dan menawarkan dua ekor lembu sebagai korban untuk dikongsi bersama.

“Alhamdulillah, semua bahagian lembu tersebut telah habis dibeli oleh rakan-rakan sekampung dan sebahagian daging itu dijadikan lauk kenduri bagi majlis perjumpaan kami, manakala selebihnya diserahkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Nesan Empat/Kolam untuk diagihkan kepada penduduk setempat.

“Saya tidak menyangka sehingga 300 orang hadir kerana pada awalnya hanya sekitar 150 orang yang menyatakan hasrat untuk turut serta. Alhamdulillah, pada saat akhir ramai yang hadir dan mujurlah lauknya mencukupi,” jelas beliau dengan rasa gembira.

Tambah beliau lagi, pada usia sebegini, tiada yang lebih utama daripada menjaga hubungan sesama manusia kerana ramai yang kini telah menghampiri penghujung usia, dan sifat bermaaf-maafan perlu dipupuk sebagai teladan kepada generasi muda.

Azizah Embong. 

Sementara itu, Azizah Embong, cucu kepada Dato’ Biji Sura Nik Mohamad Nik Hitam salah seorang tokoh yang pernah ditugaskan oleh Sultan Zainal Abidin III untuk menggubal Undang-Undang Tubuh Negeri Ittakul Muluk Bi Takdil Suluk pada tahun 1910 berkata bahawa beliau tidak begitu mengenali datuknya secara peribadi, namun menurut sejarah, datuknya telah dilantik menjadi hakim selepas kes Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong pada tahun 1928.

“Dahulu banyak rumah besar milik dato’-dato’ di Tanjung Nesan Empat yang dibina daripada kayu cengal dan dihiasi dengan seni ukiran Terengganu. Rumah datuk saya juga antara yang terawal, dibina atas tanah hampir 1.5 ekar.

“Jika dahulu, satu rumah didiami oleh ramai keluarga tanpa masalah kerana hubungan mereka amat rapat dan saling menjaga ibu bapa.

“Sekarang zaman sudah berubah, ramai yang lebih selesa tinggal sendiri atau merantau mencari peluang di luar,” ujar beliau, yang juga sepupu kepada pemilik syarikat pengangkutan Sani Ekspres.

Tapak rumah Dato’ Biji Sura

Majoriti penduduk Tanjung Nesan Empat turut berharap agar kampung bersejarah yang terletak di jantung bandar raya ini dapat dibangunkan dengan baik oleh kerajaan negeri bukan sahaja untuk kemajuan, tetapi untuk mengekalkan nilai warisan.

Bagi mereka, pembangunan memang penting lebih-lebih lagi memandangkan kedudukan tanah yang sangat strategik, tetapi kelestarian dan khazanah sejarah yang terdapat di kampung-kampung seperti ini amat wajar dilestarikan agar tidak mengalami nasib seperti Kampung Baru di Kuala Lumpur yang berdepan pelbagai isu pemilikan tanah.