Home Berita PAS Terengganu

Tangisan pilu iringi serahan barangan peribadi 15 mangsa tragedi UPSI

10
SHARE

BESUT – Suasana pilu menyelubungi perkarangan Masjid Hadhari di sini apabila ahli keluarga 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam tragedi di Tasik Banding, Gerik, Perak baru-baru ini, menerima barangan peribadi milik insan tersayang mereka, pagi semalam.

Tangisan dan esak tangis jelas kedengaran sebaik lori yang membawa barangan milik mangsa tiba sekitar jam 10.30 pagi, sebelum diserahkan kepada waris yang setia menanti dengan penuh emosi.

Ketua misi, Prof Dr Mohd Azlan Nafiah berkata, barangan yang dibawa termasuk pakaian dari bilik penginapan lima kolej kediaman di UPSI, empat buah motosikal yang digunakan mangsa semasa di kampus, komputer riba, dan buku nota milik pelajar.

“Setiap barangan ini bukan sekadar benda fizikal, tetapi menyimpan kenangan dan harapan yang tidak sempat disempurnakan,” katanya ketika ditemui di perkarangan masjid.

Menurut beliau, misi penghantaran barangan ini diuruskan oleh Pusat Transformasi Komuniti UPSI dengan kerjasama Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Suksis) UPSI.

Katanya lagi, bagi keluarga yang tidak dapat hadir, pihak mereka turut mengambil inisiatif menghantar sendiri barangan peribadi mangsa ke kediaman masing-masing.

“Kami faham, dalam saat duka begini, setiap usaha untuk menyampaikan sedikit kenangan ini amat bermakna buat keluarga,” tambahnya.

Tragedi yang menimpa pelajar-pelajar UPSI itu telah mengundang kesedihan seluruh negara, dan penghantaran barangan ini menjadi satu lagi momen memilukan dalam mengenang pemergian mereka.

Kredit: Mohd Khairul Fikiri Osman | BERNAMA