Home Berita PAS Terengganu

Tangguh guna LPG komersial, jangan zalimi rakyat – Rosol

13
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Persekutuan digesa menangguhkan serta-merta langkah mewajibkan larangan penggunaan gas petroleum cecair (LPG) domestik 14 kilogram ke atas peniaga kecil yang berkuat kuasa sejak 1 Mei lalu.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, penyusunan semula subsidi perlu dilakukan dengan cermat, komunikasi yang jelas serta disusuli insentif sokongan, bukannya secara terburu-buru.

Katanya, larangan tersebut hingga memangsakan rakyat yang akan dibebani kesan domino, di mana akhirnya pengguna terpaksa menanggung beban membayar pada harga mahal akibat peningkatan kos yang dihadapi peniaga.

“Saya menerima banyak aduan daripada peniaga kecil khususnya pengusaha makanan, yang tertekan dengan lonjakan kos hingga tiga kali ganda iaitu daripada sekitar RM2,600 sebulan kepada RM7,000 sebulan susulan larangan tersebut.

“Tidak cukup dengan lonjakan kos, mereka juga diburu pihak berkuasa sejak tiga minggu lalu menerusi Ops Gasak, menyebabkan ramai dalam kalangan peniaga kecil ini dikompaun dan dirampas silinder LPG mereka,”katanya dalam satu kenyataan.

Rosol yang juga Ketua Portfolio Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup PN berkata, keadaan bertambah buruk apabila ramai peniaga turut menjadi sasaran Ops Gasak sejak tiga minggu lalu, sehingga ada yang dikompaun dan tong gas dirampas oleh pihak berkuasa.

“Saya simpati dengan nasib peniaga kecil yang bukan sahaja dibebani kos hidup tinggi, malah kini berdepan tekanan dasar yang dilaksana secara tergesa-gesa oleh kerajaan Madani,

“Kesan rantaian daripada peningkatan kos ini akhirnya akan ditanggung oleh pengguna. Jangan zalimi rakyat,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan sepatutnya menyediakan terlebih dahulu insentif sokongan yang bersesuaian termasuk mempunyai pelan khusus untuk membantu meringankan bebanan kos peniaga kecil supaya pengguna akhir tidak menanggung kesan kenaikan kos mendadak.

“Rakyat  bukan saja sedang bergelut demi kelangsungan hidup ketika kerajaan Madani gagal menangani isu kos hidup rakyat, tetapi berdepan pula dengan tindakan kerajaan ketika mana SST akan diperluas bermula Jun depan, subsidi RON95 tetap dirasionalisasi pada separuh kedua tahun ini dan tarif elektrik bakal naik Julai depan,” ujarnya.