Oleh: Abu
SEBERANG PERAK, Serangan ulat pengorek batang yang menyerang hasil tanaman padi di Seberang Perak mendapat perhatian dari Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II YB Dato’Hj. Che Abdullah Mat Nawi yang kemudiannya telah turun meninjau kesan serangan itu semalam.
Tinjauan bersama Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak YB Tuan Haji Razman Zakaria tersebut bagi melihat sendiri kesan kemusnahan serangan yang berlaku.
Menurut Che Abdullah, hampir semua compartment kawasan A,B,C,D serta F mengalami serangan dimana kadar kerosakan juga tinggi contohnya di kawasan A sekitar 40 peratus kerosakan menurut penilaian.
Beliau bagaimanapun berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan oleh pihak IADA Seberang Perak dalam menangani isu tersebut.
Beliau juga menasihatkan para pesawah supaya mematuhi amalan atau SOP pertanian baik dimana pengawalan seharusnya bermula daripada peringkat awal secara keseluruhan bagi mengelakkan masalah berlaku.
“Cuma saya berpuas hati dengan tindakan-tindakan yang telah diambil oleh pihak IADA dalam usaha untuk cuba mengatasi masalah serangan ulat pengorek batang ini.
Saya juga berkesempatan bertemu dengan petani-petani tadinya untuk sama-sama meninjau permasalahan yang berlaku yang mana jika tidak dikawal sebaiknya akan merugikan bukan sahaja kepada petani-petani berkenaan tetapi dari segi industri pengeluaran beras itu sendiri.
“Jadi kita mengharapkan supaya pegawai-pegawai pertanian, IADA dan sebagainya dapat memainkan peranan sebaiknya. Petani-petani juga (hendaklah) mengadakan SOP SOP (konsep amalan pertanian) yang sebaiknya supaya kawalan dapat dibuat daripada awal penanaman kerana serius tak serius serangan ini sangat bergantung kepada SOP SOP yang diamalkan”, jelasnya.
Sementara itu Razman pula menyatakan pihak kerajaan negeri telah menyediakan satu peruntukan untuk membantu mereka di mana urusan selanjutnya akan melalui penilaian dari jabatan pertanian berdasarkan laporan dan bancian yang diterima.
“Alhamdulillah, bagi pihak kerajaan negeri telah pun mengeluarkan satu peruntukan untuk membantu mereka. Pada masa yang sama, Jabatan Pertanian akan membuat pengiraan secara terperinci untuk menampung supaya mereka boleh meneruskan kehidupan mereka”, ujar Razman.
Dalam pada itu kerajaan di bawah MAFI juga mula menjalankan projek perintis penanaman padi beras wangi bersama pihak FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd yang dimulakan di Seberang Perak.
Inisiatif tersebut mula diperkenalkan dalam usaha selain mengurangkan import beras jenis tersebut ia juga mampu meningkatkan pendapatan petani dimana hasil melalui nilai jualan akan meningkat lebih RM300 bagi satu tan metrik berbanding padi biasa.
Tinjauan turut diiringi oleh Pengerusi Industri Padi dan Beras Negara En. Azman Mahmood, Pengarah Jabatan Pertanian Perak Puan Norsiyenti Othman, Pengarah IADA Seberang Perak Mohd Shafie Mohd Sidik, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Perak Mohd Faizal Mohd Jakir, Pengarah Jabatan Perikanan Perak Zaki Mokri dan Timbalan Pengurus Besar Wilayah FELCRA Bhd Perak Mohd Fairus Mohamad Yusuf.