HULU TERENGGANU – “Saya dengar suara meminta tolong sayup dalam kesan runtuhan tapi tidak tahu dari mana,” kata Danial Arabi,36.
Dia merupakan orang terawal yang pergi melihat insiden tanah runtuh di Jalan Bukit Apit, Ajil di sini hari ini.
Berkongsi cerita saat kejadian itu berlaku, dia yang juga merupakan jiran terdekat sedang berehat dan mendengar bunyi yang kuat dan apabila keluar mendapati tanah runtuh telah menghempap tiga buah rumah.
Menurutnya, terdapat tiga buah yang mana dua dalam pembinaan dan satu yang dihuni oleh keluarga mangsa.
“Masa tu jam 4.30 petang dan hujan tengah lebat…terdengar bunyi kuat dan apabila keluar tengok tanah runtuh.
“Saya segera ke sana dan nampak seorang mangsa (kanak-kanak perempuan) dihempap selain mendengar suara meminta tolong.
“Saya kemudian menghubungi polis dan bomba memaklumkan kejadian berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Apit, Ajil di sini.
Katanya, masa kejadian dalam 4.30 petang dan ketika itu hujan lebat sejak semalam.
Tambah Danial, rumah itu didiami enam beranak namun, ketika kejadian, ibu kepada lima beradik tidak berada di dalam rumah.
Terdahulu, media melaporkan tiga mangsa dilaporkan terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, petang tadi.
Pasukan bomba menerima panggilan jam 4.59 petang sebelum pegawai dan maggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang dan Wakaf Tapai bergegas ke lokasi untuk kerja-kerja menyelamat.