Home Berita PAS Terengganu

Tanah Bencah Aset Ekopelancongan Terengganu

330
SHARE

SETIU – Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetlands), yang terkenal dengan kepelbagaian biodiversiti dan ekosistem uniknya, terus menjadi aset ekopelancongan penting bagi negeri Terengganu.

Sempena sambutan ‘World Wetlands Day’ 2025 peringkat negeri, kerajaan Terengganu menegaskan komitmennya dalam memelihara khazanah semula jadi kawasan tanah bencah itu sambil menaikkan pelancongan ekologi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar & Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris menekankan kepentingan tanah bencah dalam menyeimbangkan ekosistem, membekalkan sumber air bersih, dan memastikan kelangsungan biodiversiti.

“Tema sambutan tahun ini, ‘Melindungi Tanah Bencah Demi Masa Depan Bersama,’ amat bertepatan dengan peranan penting yang dimainkan oleh tanah bencah dalam menyokong ekopelancongan.

“Tanah Bencah Setiu merupakan contoh terbaik khazanah alam yang bukan sahaja menjadi habitat pelbagai flora dan fauna, tetapi juga daya tarikan kepada pelancong yang ingin merasai pengalaman alam semula jadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis perasmian program sambutan ‘World Wetlands Day’ 2025 Peringkat Negeri Terengganu bertempat di Jeti Gong Batu, Setiu, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof dan Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman.

Tambah Razali, kewujudan sepuluh ekosistem berbeza dalam satu kawasan di Tanah Bencah Setiu turut mampu bertindak sebagai benteng semula jadi terhadap kesan perubahan iklim seperti banjir dan hakisan pantai.

Ujarnya, Kerajaan Terengganu tetap komited dalam menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti. Agensi seperti Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN), Jabatan Perhutanan, dan WWF Malaysia terus bekerjasama dalam program pemuliharaan yang mengimbangi pertumbuhan pelancongan dengan pemeliharaan ekologi.

“Penglibatan pelbagai pihak dalam program hari ini membuktikan bahawa pemuliharaan adalah tanggungjawab bersama.

“Pembangunan pelancongan lestari di Tanah Bencah Setiu amat penting untuk memastikan generasi akan datang terus menikmati keindahan semula jadi dan manfaat ekologi yang ditawarkan,” jelasnya.

Sambutan itu turut menyaksikan penglibatan aktif masyarakat setempat, pelajar, NGO, serta agensi kerajaan melalui pelbagai aktiviti seperti berkayak, jelajah alam semula jadi, penanaman pokok bakau dan gelam, serta pelepasan ketam.

Kerajaan menyeru semua pihak, termasuk sektor swasta dan komuniti setempat, untuk terus memainkan peranan aktif dalam memastikan kelestarian tanah bencah ini agar kekal sebagai salah satu destinasi ekopelancongan utama di Malaysia.