Home Artikel PAS Pulau Pinang

TAMRIN MUJAHIDAH MUSLIMAT BUKIT MERTAJAM

143 views
SHARE

Oleh : Farhani Fuad

SABTU, 13 Oktober : Dewan Muslimat PAS Kawasan Bukit Mertajam (DMPKBM) telah menganjurkan satu program Tamrin Mujahidah bertempat di Maahad Tahfiz Qiam, Perak. Maahad tahfiz ini kepunyaan Tuan Guru Sidek Nor, Ketua Dewan Ulamak Negeri Perak.

Seramai 73 orang telah menyertai ziarah tersebut termasuk 14 orang wakil Assabiqat negeri Pulau Pinang.

Ketua DMPKBM, Noriah Ibrahim berkata, program ini dapat mengeratkan lagi ukhuwwah bersama Dewan Muslimat PAS Kawasan Bukit Gantang dan juga sesama muslimat Bukit Mertajam sendiri.

“Seharusnya muslimat, pulang ke tempat sendiri, perlu menerapkan nilai positif untuk kesinambungan dalam gerak kerja parti”, ujarnya.

Program dimulai dengan slot motivasi yang disampaikan oleh Nik Nur Azman Ghazali yang lebih dikenali sebagai Cikgu Nik.

Beliau dalam motivasinya memupuk muslimat agar membuang segala sifat negatif dalam diri kerana ia akan mengganggu gerak kerja jemaah.

Seterusnya slot taujihat, telah disampaikan oleh Zulkifli Ahmad, Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gantang. Beliau menegaskan peranan muslimat selaku tulang belakang dalam parti.

Muslimat Bukit Mertajam juga melakukan munajat AKIFI bersempena dengan PRK Port Dickson sebelum semua peserta membeli belah barangan yang diusahakan oleh maahad seperti telur masin, sos, mee sanggul dan lain-lain.

Program diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan sumbangan kepada wakil Maahad Tahfiz Qiam.