Home Berita PAS Pulau Pinang

Tambak pantai Bagan Ajam perlu dikaji semula

360
SHARE

Oleh BAHAROM HAMID

BUTTERWORTH, 28 OKTOBER – PAS Negeri Pulau Pinang mempersoalkan kewajaran kerajaan negeri merancang menebus guna pantai di sini.

Hal ini membabitkan projek cadangan pelan induk pembangunan tebus guna tanah seluas 407 hektar dari Bagan Ajam hingga Teluk Air Tawar untuk tujuan pembangunan bercampur.

Sebanyak 11.453 hektar Promenade, membina 25.091 hektar pantai berpasir, tebus guna dan menaik taraf 35.005, 21.080 hektar tanah sedia ada kepada kemudahan masyarakat dan utiliti.

Pengerusi Lajnah Asas Tani Dan Alam Sekitar (LATAS) Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Pulau Pinang, Saiful Lizan melahirkan kebimbangan bahawa projek ini bakal memberi ancaman kepada kehidupan rakyat, nelayan pinggir pantai, pencemaran alam sekitar, pencemaran tanah dan memusnahkan ekosistem laut.

“Walaupun pembangunan ini akan memberi kemajuan, namun ia hanya memberi keuntungan kepada para pelabur di atas kehancuran dan penderitaan rakyat Pulau Pinang khususnya di Bagan Ajam dan Teluk Air Tawar di sini,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan itu akan melibatkan kawasan penduduk kampung tradisional Melayu dan perkampungan nelayan.

Sekurang-kurangnya 200 orang nelayan akan terlibat dan terkesan hilang punca pendapatan dan memusnahkan sosioekonomi.

“Kami dapati banyak persoalan penting dan kritikal tentang projek ini masih belum dijawab oleh konsultan dan pemaju yang bakal menambak pantai ini, terutamanya tentang hal hak nelayan, impak kepada orang awam dan kaedah mitigasi,” ujarnya lagi.

Beliau juga mempersoalkan apakah penduduk dan pemimpin setempat memahami erti sebenarnya implikasi dan kesan jangka panjang dalam projek pembangunan itu kepada penduduk setempat dan orang Melayu di sini berkaitan sosioekonomi dan sejarah.

Menurut Saiful, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan konsultan perlu mengadakan sesi-sesi town hall untuk masyarakat awam supaya kandungan dalam laporan Environmental Impact Assessment (EIA) dapat dibentangkan dengan cara yang mudah difahami oleh orang ramai.

“Sesi pencerahan daripada JAS dan konsultan adalah penting supaya orang awam boleh memberi ulasan mereka dengan baik,” ujar beliau.