Home Berita PAS Perlis

Tambah Peruntukan Kawal Sempadan

531
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

ARAU: Kerajaan hari ini digesa supaya mempertimbangkan penambahan peruntukan kepada agensi-agensi yang terlibat dengan kawalan sempadan negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim berkata, cadangan berkenaan dibuat memandangkan tugas mengawal sempadan negara pada hari ini semakin mencabar.

“Tugas mengawal sempadan pada hari ini merupakan tugas yang amat mencabar dan berisiko kerana para anggota keselamatan kita kini terdedah kepada pelbagai bentuk bahaya termasuklah yang mengancam nyawa mereka.

“Keberkesanan pihak berkuasa dalam mengawal sempadan kita daripada dibolosi menyebabkan para penyeludup dan penjenayah sanggup menggunakan apa sahaja cara termasuklah kekerasan bagi meneruskan aktiviti mereka.

“Justeru, sudah tiba masanya kerajaan memandang serius akan perkara ini (menambah peruntukan) agar pasukan keselamatan kita dapat dilengkapi dengan peralatan yang lebih baik dan tugas mengawal sempadan negara dapat dilakukan secara lebih efektif,” katanya ketika dihubungi di sini petang tadi.

Beliau turut menyifatkan kehilangan anggota Pasukan Gerak Am (PGA) dalam kejadian baru-baru ini sebagai kehilangan besar buat negara.

“Keberanian yang ditunjukkan beliau (mendiang Koperal Baharuddin) dalam melaksanakan tugas adalah sikap yang amat terpuji dan pemergiannya adalah satu kehilangan yang amat besar buat rakyat dan negara.

“Ini menjadi bukti betapa tingginya pengorbanan serta tahap profesionalisme para anggota keselamatan negara dalam mempertahankan kedaulatan negara, bukan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Oleh yang demikian, pengumuman Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador bahawa mendiang (Koperal Baharuddin) dan Koperal Norihan Tari dinaikkan pangkat serta merta ke pangkat Sarjan adalah amat tepat,” jelasnya.