KUALA TERENGGANU — Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil tindakan segera untuk melakukan kerja-kerja baik pulih dan memperketatkan pemantauan di kawasan pasar Bukit Besar yang semakin suram ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata terdapat 73 peniaga berdaftar di pasar berkenaan, namun daripada 97 premis yang disediakan, sebanyak 24 premis masih belum beroperasi.
“Pasar Bukit Besar pernah dikenali sebagai ‘Pasor Garib’ yang cukup terkenal dan menjadi pilihan utama masyarakat.
“Saya yakin, dengan sedikit usaha penambahbaikan, pasar ini boleh dikembalikan kepada kegemilangannya dengan keadaan lebih menarik, selesa dan selamat untuk semua,” katanya di persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini.
Beliau berkata suasana pasar tersebut kelihatan semakin lesu dan kurang dikunjungi pengunjung walaupun ia merupakan nadi ekonomi penting bagi masyarakat setempat.
Zuraida turut menyenaraikan dua isu utama yang perlu diberi perhatian segera oleh pihak berkuasa tempatan iaitu isu penyelenggaraan dan isu persaingan yang tidak seimbang.
Tegasnya, pemulihan Pasar Bukit Besar bukan sekadar soal fizikal, tetapi turut melibatkan soal maruah dan semangat ekonomi rakyat setempat, khususnya peniaga kecil yang menjadi tulang belakang ekonomi tempatan.