Home Berita PAS Terengganu

Taman Tema Air Sekayu Dibuka Hari Ini

21
SHARE

HULU TERENGGANU – Taman Tema Air yang telah ditutup kira-kira hampir tiga tahun, kini dibuka semula bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, taman tema air yang terletak di Taman Pertanian Sekayu (TPS) Negeri Terengganu itu memiliki keunikan tersendiri yang mana air kolamnya daripada sumber semula jadi yang sentiasa mengalir.

“TPS ini merupakan destinasi agropelancongan tersohor di negeri Terengganu, malah dalam negara.

“Tetapi, selepas banjir besar pada 2022, bencana kepala air dan beberapa musibah lagi, keadaan bertukar suram.

“Jadi, lebih tepat sekiranya hari ini diisytiharkan sebagai pembukaan semula Taman Teman Air di sini,” katanya.

Tambahnya, buat masa ini tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke TPS, cuma dikenakan terhadap sewaan tapak khemah sedia ada dan sebagainya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan taman tema tersebut, hari ini.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Pengarah Pertanian Negeri, Dr Sukati Sakka, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail dan Yang Di-Pertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Mohd Fadli Ngah.

Menurut Dr Azman, sejak tahun 2022 sehingga tahun lalu secara berkala peruntukan dapat disalurkan sebanyak RM2 juta secara berperingkat.

“Cuma, dengan bajet yang terhad kita terpaksa fokus kepada usaha yang memberikan impak besar kepada rakyat kita.

“Saya sangat berterima kasih kepada pimpinan masyarakat di sini serta jabatan yang ada di Hulu Terengganu yang telah menyusun dan membahagikan kawasan dalam TPS sebagai kawasan angkat untuk diselenggara dan dijaga.

“Kita hidupkan semula peringkat demi peringkat, bermula dengan taman tema air kita.

“Proses pemulihan ini akan dibangunkan secara berperingkat dengan kemudahan-kemudahan lain,” katanya.

Sebagai rekod, peruntuk sebanyak RM2 juta yang dilaburkan kerajaan negeri digunakan untuk membina beberapa komponen dalam TPS.

RM1 juta yang diberikan pada akhir tahun 2022 digunakan bagi pembinaan asrama dan dewan serta baik pulih taman tema air.

Sejumlah RM1 juta lagi yang diperuntukkan tahun ini digunakan untuk pembinaan tapak perkhemahan utama yang boleh menempatkan seramai 600 peserta (RM230 ribu).

Sebanyak RM500 ribu digunakan bagi membaik pulih tebing sungai dan tapak perkhemahan keluarga (individu).

Manakala, RM120 ribu untuk pembinaan tapak dan kemudahan motorhome atau karavan dan pembinaan nurseri dan kafe (RM120 ribu).