Home Berita PAS Terengganu

Taman Sinar Harapan Kuala Terengganu perlu tambahan kakitangan

9
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kekurangan kakitangan penjagaan dan fasiliti asas di institusi kebajikan Taman Sinar Harapan Kuala Terengganu (TSHKT) merupakan antara isu utama dihadapi oleh institusi tersebut.

Hal tersebut telah dibangkitkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat dan Perpaduan Kedah, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad, semasa lawatannya ke TSHKT, semalam.

Beliau menyifatkan situasi semasa di pusat jagaan itu memerlukan perhatian segera kerajaan Persekutuan, khususnya dari sudut penambahan perjawatan dan penyelenggaraan kemudahan sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat dan Perpaduan Kedah, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad

“Bila kita buat perjumpaan dengan pengetua (Sinar Harapan) dia tadi, beliau mengatakan bahawa satu pegawai ataupun satu kaki tangan yang nisbahnya seorang pegawai untuk 20 orang kanak-kanak, amat sukar untuk mereka membuat pemantauan kepada kanak-kanak yang tinggal di sini.

“Kami berharap kerajaan Persekutuan akan adakan bajet untuk menempatkan kakitangan di sini supaya anak-anak ini terbela,” tegasnya.

Halimaton turut meninjau keadaan sekitar pusat termasuk kawasan permainan kanak-kanak yang dilihat tidak lagi selamat dan memerlukan pembaikan segera.

“Dari lawatan kami tadi Kita ada dapat kesan, contohnya, di taman permainan kanak-kanak tersebut perlu diperbaiki.

“Bila kita tanya macam mana nak dapatkan peruntukan, ini ada (dapat) sumbangan dari pihak-pihak NGO dan perseorangan. Jadi kita harap kerajaan mengambil perhatian dalam bahagian ini juga.

Halimaton yang mengetuai delegasi kerajaan negeri Kedah bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Seputih, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media.

Perkara itu juga disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga Dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim, yang turut hadir dalam lawatan itu.

Tambah beliau, kanak-kanak berumur antara 0 hingga 14 tahun yang ditempatkan di TSHKT bukan sahaja perlu diberi perlindungan, malah perlu dirangsang melalui aktiviti riadah dan pembangunan kendiri yang konsisten agar mereka mampu belajar dan berdikari.

TSHKT, yang ditubuhkan sejak 1984, kini menempatkan seramai 67 penghuni OKU kategori masalah pembelajaran, dan merupakan salah satu daripada tujuh institusi Taman Sinar Harapan di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara.

Sebelum ini, institusi tersebut turut diklasifikasikan sebagai Tempat Selamat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016) serta Tempat Perlindungan Sementara mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, menjadikannya pusat penting dalam jaringan keselamatan sosial negara.