Home Kenyataan Media PAS Wilayah

Takziah Keluarga Almarhum Bob Lokman : Industri Seni Kehilangan Seri

62
SHARE

PAS Wilayah Persekutuan mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum Mohd Hakim bin Lokman atau Bob Lokman yang telah menghembuskan nafas terakhir pada hari ini. PAS WP menganggap kehilangan Almarhum Bob Lokman adalah satu kehilangan besar buat industri seni negara.

Almarhum Bob Lokman adalah insan seni yang begitu prolifik dengan hasil karya bermutu tinggi. Dekad 1980an – 1990an adalah kemuncak kerjaya beliau dengan ledakan karya agung bertaraf dunia. Lirik lagu beliau sering menjadi siulan anak muda, sehingga melahirkan kumpulan besar rock negara seperti Search, Wings, Black Rose, Teachers Pet, Lefthanded, Ekamatra, Exists, Mega dan Slam. Manakala penyayi tersohor yang lahir hasil dari buah tangan lirik beliau adalah Hattan, Nash, Ella dan ramai lagi.

Nama beliau sangat harum dan penulis lirik berhantu ini berjaya menembusi pasaran Indonesia, Brunei, Singapura dan lain-lain. Bagi golongan pertengahan usia, pastinya mengenali lagu terkenal seperti Isabella, Taman Rasyidah Utama, Intanku Kesepian, Rendang Tak Berbuah, Pusara di Lebuhraya dan Pada Syurga di Wajahmu.

Almarhum Bob Lokman juga adalah insan versatile. Beliau kreatif sebagai pengarah filem, pelakon, komedian dan lain-lain lagi. Beliau adalah watak yang menghiburkan dan disenangi dalam dunia komedi serta sering juga mengisi pentas sebagai juri.

Semenjak menyertai PAS semenjak 2011, beliau bertekad bergerak ke hadapan dan tidak menoleh lagi ke belakang. Jasa beliau kepada PAS khususnya Lajnah Kesenian PAS Pusat sangat besar. Sebagai ikon pendakwah bertaraf selebriti, beliau sering menjadi penceramah tetap di mana-mana pentas PAS tanpa berkira soal duit, rasa letih, takut dan jemu. Sosok ini memainkan peranan penting dalam memberi pengaruh besar kepada insan seni yang lain untuk turut berkecimpung dalam dunia politik. Beliau adalah ikon yang berjuang di dalam industri seni, namun mempunyai prinsip dan fikrah Islam yang disegani kawan dan lawan.

Dalam keuzurannya semenjak tahun 2020 lagi semangatnya sangat tinggi serta sering menitipkan kata-kata nasihat yang berguna buat generasi muda. Pemuda PAS dan anak-anak muda segenap peringkat pasti hadir memenuhi padang program sekiranya beliau turun berceramah. Karakternya bersahaja, suka berjenaka, penuh visi dan mempunyai akhlak tinggi.

PAS WP menganggap sukar buat negara mencari ganti tokoh sehebat Almarhum Bob Lokman dan pemergian beliau hari ini pasti ditangisi oleh semua yang mengenalinya. Akhir sekali, kami mengharapkan agar keluarga almarhum tabah menghadapi ujian berat ini, serta mendoakan agar roh beliau ditempatkan di sisi Allah SWT sebagai insan solehin dan diredhai Nya.

USTAZ HAJI SHAFIE BIN ABDUL RAHMAN
Pengarah Lajnah Kesenian
PAS Wilayah Persekutuan