Home Berita PAS Pahang

Tak rela anak mengaji diancam roda bauksit – ADN Beserah bertindak segera

49
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

ALOR BATU, 1 Jul – Kebimbangan penduduk Kampung Alor Batu mengenai laluan lori pengangkut tanah bauksit yang melalui kawasan kampung mereka akhirnya mendapat penyelesaian setelah campur tangan Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB Dato’ Haji Andansura Rabu.

Menurut Andansura, beliau turun padang ke Kampung Alor Batu di sini semalam bagi melihat sendiri lokasi laluan keluar masuk lori yang dikhuatiri mendatangkan risiko keselamatan kepada penduduk, khususnya kanak-kanak.

“Laluan lori tersebut terletak betul-betul di hadapan sebuah rumah yang dijadikan tempat anak-anak belajar mengaji, selain berada di tengah-tengah antara dua selekoh dan berhampiran dengan sekolah.

“Keadaan tersebut menimbulkan kegusaran penduduk kampung terhadap keselamatan anak-anak, pengguna jalan raya serta penduduk sekitar, lebih-lebih lagi jika operasi tanah bauksit berjalan tanpa kawalan,” katanya.

Beliau turut dimaklumkan bahawa lokasi operasi tanah bauksit itu terletak dalam sempadan negeri Terengganu dan belum mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa negeri.

Bagi meredakan kebimbangan penduduk, beliau telah mendapatkan bantuan Ayahcik Ibrahim, individu yang berpengaruh di Kampung Alor Batu untuk berunding dengan pihak syarikat yang terlibat.

“Hasil perbincangan, saya difahamkan wakil syarikat bersetuju untuk membuat laluan alternatif bagi lori-lori terbabit,” jelas beliau.

Beliau turut memohon kerjasama Ketua Kampung bersebelahan untuk memantau operasi tersebut dari sudut perundangan, keselamatan jalan raya serta kesejahteraan awam agar penduduk tidak terjejas.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan bertindak pantas demi kesejahteraan penduduk Kampung Alor Batu,” tambah beliau.